Piala Malaysia (pada mulanya digelar Piala HMS Malaya) walaupun tidak memberikan sebarang slot buat pasukan yang menjuarainya ke saingan Asia, tetap mempunyai aura yang tersendiri apabila ianya merupakan piala tertua di Malaysia dan Asia apabila mula dipertandingkan sejak tahun 1921.
Piala Malaysia 2018 merupakan edisi ke-92 penganjurannya dan persoalan mengenai pasukan mana yang akan beraksi di pentas perlawanan akhir unifi Piala Malaysia 2018 pada 27 Oktober ini akhirnya terjawab apabila Perak bakal berdepan Terengganu.
14 pasukan sudah berjaya menikmati kejuaraan Piala Malaysia dengan Selangor menjadi pasukan yang paling banyak mencatatkan kejayaan apabila berjaya menjuarainya sebanyak 33 kali.
Perak berjaya menjadi juara pada alaf baru apabila berjaya menundukkan Negeri Sembilan dengan keputusan 2-0.
Berikut adalah senarai pemenang Piala Malaysia pada alaf baru bermula tahun 2000 hingga 2006 :
2000 ( Perak menewaskan Negeri Sembilan 2-0 )
Andai melihatkan rekod dua pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, skuad yang diketuai Khairul Anuar Baharom itu kelihatan berkelebihan untuk menjuarai piala tersebut apabila Perak dan Negeri Sembilan berada di dalam kumpulan yang sama.
Negeri Sembilan berjaya menang dalam kedua-dua perlawanan di Paroi dan Ipoh.
Namun, skrip berbeza dijelmakan oleh Perak yang ketika itu menyandarkan harapan kepada gandingan serangan Khalid Jamlus dan V.Saravanan untuk menyaingi kehebatan jentera serangan Negeri Sembilan yang diketuai Azman Adnan dan Efendi Malek.
Gandingan muda dari Perak tersebut masing-masing berjaya menjaringkan satu gol untuk menghadiahkan kemenangan Piala Malaysia kedua dalam masa tiga tahun berturut-turut.
2001 ( Terengganu menewaskan Perak 2-1 )
Perak hadir dengan misi untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun 2000 manakala Terengganu mengintai untuk meraih kejuaraan sulung dalam saingan Piala Malaysia.
Pemain pinjaman, Mohd. Rafdi Rashid menceriakan penyokong Perak apabila berjaya meledakkan rembatan dari jarak jauh untuk menewaskan Zuber Ibrahim pada minit ke-17 perlawanan. Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Bagai mendapat tonik berguna dari Mat Zan Mat Aris di bilik persalinan, Terengganu memperkemaskan aksi pada babak kedua dan berjaya memperoleh jaringan penyamaan melalui sepakan penalti setelah K.Nanthakumar menjatuhkan Wan Rohaimi Wan Ismail dalam kotak penalti.
Rosdi Talib yang mengambil sepakan tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk jaringan penyamaan di minit ke-56.
Jaringan tersebut jelas menaikkan lagi moral pemain Terengganu dan tiga minit berselang, berpunca dari hantaran lambung dari Wan Rohaimi terus disambar Sapian Wahid yang melakukan larian ke dalam kotak penalti seterusnya melepaskan rembatan yang membolosi gawang Perak yang dikawal Azlisham Ibrahim untuk mengesahkan kejuaraan pertama Piala Malaysia buat Terengganu.
2002 ( Selangor menewaskan Sabah 1-0 )
Pertembungan anak buah Ken Worden dan Justin Ganai itu mengulangi aksi perlawanan akhir Piala Malaysia 1997 yang menyaksikan Selangor berjaya menewaskan Sabah menerusi penentuan sepakan penalti.
Perlawanan berlanjutan hingga ke penentuan masa tambahan apabila kedudukan tanpa jaringan kekal hingga tamat 90 minit permainan.
Gol yang dinantikan menjelma apabila berpunca dari hantaran jauh Azmin Azram Abdul Aziz kepada Jaafar Salleh yang melakukan larian deras ke kawasan gol Sabah, hantarannya mencari Mass Sarr Jr berjaya dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pertahanan Sabah.
Namun Amri Yahyah yang tidak dikawal oleh pemain Sabah berjaya mendapatkan bola dari luar kotak penalti dan melakukan rembatan yang berjaya menewaskan Khairul Azman Muhammad untuk jaringan emas buat Selangor bagi meraih kejuaraan Piala Malaysia ke-31.
2003 ( MPPJ Selangor menewaskan Sabah 3-0 )
MPPJ Selangor berjaya mencipta sejarah apabila menjadi kelab pertama yang menjuarai Piala Malaysia setelah jaringan hatrik dari pemain Argentina, Juan Manuel Arostegui pada minit ke-13, 64 dan 90 untuk terus menghampakan Sabah yang memburu kejuaraan pertama mereka.
Pada perlawanan tersebut kelincahan Bruno Sebastian Martelotto dan Arostegui jelas menjadi ancaman terbesar buat Sabah dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional bukit Jalil itu.
2004 ( Perlis menewaskan Kedah 1-0 )
Perlawanan yang begitu pahit untuk ditelan pasukan Kedah apabila Perlis berjaya meraih kemenangan menerusi kesilapan penjaga gol Kedah, Megat Amir Faisal yang gagal untuk melakukan tepisan yang kemas dari Adrien Jurad Chamrong pada minit ke-7 yang terus menerjah gawang yang dikawal olehnya.
Kejayaan itu juga menamatkan penantian selama 83 tahun buat Perlis untuk menjuarai piala berprestij itu.
Kelibat Phillimon Chipeta pada perlawanan ini telah dibayangi kekentalan jentera pertahanan Kedah yang diketuai Cornelius Bernard Hugging dan A. Victor.
2005 ( Selangor menewaskan Perlis 3-0 )
Musim gemilang buat Selangor apabila meraih kejuaraan Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim ini.
Sudah pasti tumpuan terarah kepada Bambang Pamungkas yang menjadi fenomena buat pasukan Selangor ketika itu. Bambang berjaya menjaringkan hatrik pada perlawanan bertemu Perlis untuk melengkapkan kejuaraan berganda buat Selangor.
Gandingan Bambang Pamungkas, Ellie Aiboy dan Brian Fuentes dilihat begitu berbisa dalam kancah Liga Malaysia 2005.
2006 ( Perlis menewaskan Negeri Sembilan 2-1 )
Negeri Sembilan (ketika ini dikenali sebagai Negeri Sembilan Naza) memburu kejayaan sulung selepas dikecewakan oleh Perak pada tahun 2000 diperkuatkan dengan kehadiran penyerang import, Christian Bekamenga. Keyakinan turut dilaungkan mereka apabila meraih mahkota kejuaraan Liga Super musim tersebut.
Perlis pula yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2004 menyandarkan harapan kepada Phillimon Chipeta dan Zacharia Simukonda untuk merobek gawang Negeri Sembilan yang dikawal Azizon Kadir.
Chipeta tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pembukaan apabila beliau yang menerima lontaran jauh dari Adrien Jurad Chamrong berjaya menanduk masuk bola untuk jaringan pertama pada minit ke-4 permainan.
Seorang lagi awang import Perlis, Zacharia Simukonda melebarkan kedudukan menjadi 2-0 pada minit ke-76. Christian Bekamengo berjaya merapatkan kedudukan empat minit kemudian.
Namun jaringan tersebut belum cukup untuk menafikan Perlis dari meraih kejuaraan Piala Malaysia kedua dalam tempoh tiga tahun. Phillimon Chipeta turut terpilih menjadi pemain terbaik perlawanan itu.