Pemantau bakat kelab daripada Liga Jepun iaitu J1 League dan J2 League dijangka akan turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memantau pemain Thailand untuk direkrut pada musim depan.
Malaysia akan melayan kunjungan Thailand dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 14 November depan untuk aksi keempat kumpulan bagi kedua-dua pasukan.
Ini mungkin peluang terbaik kepada pemain-pemain Malaysia untuk turun mempamerkan kemampuan mereka bagi memikat pemantau bakat yang sedang memantau pemain lawan.
Pemain seperti Matthew Davies, Syahmi Safari, Safawi Rasid dan Nor Azam Azih dilihat mampu untuk menarik perhatian kelab luar dan diharapkan akan memberikan aksi terbaik pada Khamis ini.
Setakat ini dua pemain telah menjadi sebutan sedang diperhatikan kelab-kelab di J1 League dan J2 League iaitu Sivakorn Tiatrakul dan sensasi terbaharu di Thai League, Ekanit Panya. Kedua-dua pemain kuat dikaitkan dengan pencabar kejuaraan J1 League, FC Tokyo.
Kejayaan tiga pemain yang sedang beraksi di Liga Jepun ketika ini telah membuka peluang buat pemain skuad kebangsaan Thailand diintai dan dijangkakan aksi seterusnya di Bukit Jalil akan dihadiri oleh pemantau bakat daripada negara matahari terbit itu.
Tiga pemain skuad kebangsaan Thailand yang sedang beraksi di Jepun adalah Chanathip Songkrasin, Theerathon Bunmathan dan Thitipan Puangchan yang masing-masing bermain bersama Consadole Sapporo, Yokohama FM dan Oita Trinita.
Sivakorn Tiatrakul dan Ekanit Panya adalah pemain untuk juara Thai League, Chiangrai United dan kelab mereka juga sudah sedia maklum mengenai situasi kedua-dua pemain yang sedang diintai.
Ekanit Panya adalah nadi penting buat pengendali Gajah Perang, Akira Nishino dalam pusingan kelayakan kali ini apabila membantu Thailand menundukkan UAE dalam aksi Kumpulan G tempohari.
“Kami akan cuba mempertahankan senarai pemain-pemain kami selama mungkin. Pemain kami mungkin akan berpindah keluar tetapi bukan kepada pasukan lawan di peringkat domestik.
“Banyak kelab-kelab luar yang berminat dengan pemain muda berbakat kami, Ekanit [Panya],” jelas Presiden Chiangrai United, Mittiya Phairat yang dipetik berkata kepada VOV World.
“Kelab-kelab daripada J1 League dan J2 League sedang memantau Ekanit secara dekat. Jika kelab tersebut tidak sesuai, kami tidak akan menjualnya. Walaubagaimanapun, keputusan akhir tetap terletak di tangan pemain tersebut,” tambahnya lagi.
Kedua-dua pemain tersebut berada dalam senarai yang dibawa ke Bukit Jalil dan dijangkakan mungkin bakal turun beraksi walaupun sebagai pemain gantian pada aksi menentang Malaysia nanti.
Diharapkan beberapa pemain muda berbakat Malaysia juga dapat mempamerkan kemampuan masing-masing ketika menentang Gajah Perang nanti dan ketika mereka memantau pemain lawan, mungkin ada yang akan tertarik dengan pemain Harimau Malaya.
Kredit Featured Image: The AFC