Perseteruan diantara dua gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona sememangnya ditunggu-tunggu seluruh peminat bola sepak seluruh dunia.
Pertemuan El-Clasico kebiasaannya akan berlangsung dengan tempo permainan pantas dan menarik serta disulami babak-babak hangat menghiasi perseteruan kedua-dua kelab tersebut.
Di samping kehangatan tersebut, penghijrahan beberapa pemain dari Barcelona secara terus ke Real Madrid juga turut menambahkan lagi rencah dalam sejarah dua kelab yang kaya dengan sejarah itu.
Berikut adalah 4 pemain yang telah meninggalkan Barcelona untuk beraksi bersama Real Madrid:
1) Luis Figo
Perpindahan yang begitu menyakitkan hati penyokong Barcelona. Seorang pemain yang begitu disayangi di Nou Camp akhirnya berpindahkan ke seteru utama mereka, ianya satu perkara yang tidak diterima dek akal penyokong-penyokong Barcelona.
Perpindahan yang menjadi rekod termahal dunia ketika itu berlaku pada Julai 2000 dengan nilai yang dicatatkan adalah £ 37 juta.
Selepas daripada penghijrahan tersebut, Luis Figo sentiasa menjadi perhatian apabila berlangsungnya El-Clasico terutamanya ketika di Nou Camp apabila Figo menjadi sasaran penyokong tuan rumah dengan membaling duit syiling, bola golf dan ada juga yang mencampakkan kepala khinzir kepada bintang Portugal itu.
Figo berjaya memenangi satu gelaran Liga Juara-Juara Eropah bersama Real Madrid, kejuaraan yang tidak pernah dimenanginya sewaktu bersama Barcelona. Beliau juga dinobatkan selaku Pemain Terbaik Dunia 2001.
2) Micheal Laudrup
Laudrup juga mencipta kontroversi apabila keinginannya untuk beraksi bersama Real Madrid.
Beliau sebelum itu berjaya membentuk gandingan mantap bersama Ronald Koeman dan Hristo Stoichkov di Nou Camp.
Pemain antarabangsa Denmark ini tidak menjadi pilihan Johan Cruyff setelah kehadiran Romario ke dalam pasukan tersebut dan lebih banyak memanaskan bangku simpanan pada musim 1993/94.
Keadaan itu memaksa Laudrup untuk mengubah angin dan Real Madrid menjadi destinasi pilihan seterusnya buat beliau.
Perpindahan tersebut memberikan kegembiraan buat beliau kerana berjaya membantu Real Madrid menjuarai La Liga pada musim pertamanya.
3) Luis Milla
Pemain yang kini merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia itu beraksi di bahagian tengah bertahan.
Milla mula beraksi bersama Barcelona pada tahun 1984 dan berjaya mengecapi kejayaan La Liga, UEFA Cup Winner’s Cup dan Copa Del Rey sepanjang 6 tahun di kelab Catalan itu.
Berikutan pertikaian mengenai kontrak lanjutan, Milla memilih untuk enggan memperbaharui kontraknya dan berpindah secara percuma ke Real Madrid.
Ketika di Real Madrid, Milla membantu kelab tersebut menjuarai dua kejuaraan La Liga dan Copa Del Rey pada 1993.
Selepas tujuh tahun di Santiago Bernabeu, beliau akhirnya berhijrah ke Valencia pada tahun 2007.
4) Bernd Schuster
Schuster merupakan antara tonggak utama Barcelona sekitar tahun 80-an.
Beliau tidak mempunyai hubungan yang baik dengan pengurus kelab tersebut walaupun berjaya melakar pencapaian yang baik dalam kariernya ketika di Barcelona.
Akhirnya Schuster membuat keputusan kontroversi apabila berhijrah ke Real Madrid.
Dua musim di Madrid, pemain kelahiran Jerman itu berjaya membawa cabaran kelab untuk menjuarai La Liga dua tahun berturut-turut (1988/89 dan 1989/90) serta Copa Del Rey.
Schuster kemudiannya ke Atletico Madrid, Bayer Leverkusen dan UNAM Pumas. Pada tahun 2007, beliau dilantik menjadi pengurus Real Madrid dan hanya mampu bertahan selama semusim mengendalikan Los Blancos.