Kebelakangan ini, topik membabitkan pemain warisan dan naturalisasi semakin hangat diperkatakan dalam kalangan peminat bola sepak Harimau Malaya di media sosial dengan beberapa perbincangan dan perdebatan turut berlaku.
Untuk laporan sebelum ini mengenai skuad Harimau Malaya, Hector Hevel sah menjadi pemain warisan baharu buat kem kebangsaan.
Sebagai rekod, Hector sebelum ini telah pun beraksi bersama skuad pembangunan Belanda sebelum namanya tidak lagi dipanggil mewakili pasukan senior negara tersebut.
Our Malaysians Abroad are here! Selamat datang Hector Hevel & Gabriel Palermo
#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/m80AwMGsmv
— Malaysia NT (@malaysia_nt) March 19, 2025
Beraksi di posisi tengah menyerang, beliau telah mencipta 304 penampilan sepanjang dalam karier bola sepak serta meledak 33 gol dan 44 bantuan jaringan.
Musim ini beliau beraksi untuk Portimonense di saingan divisyen kedua Portugal serta telah merekodkan enam perlawanan dan mencipta satu bantuan jaringan untuk pasukan berkenaan.
Terbaharu, wartawan Astro Arena iaitu Zulhelmi Zainal Azam melaporkan seorang lagi pemain warisan bakal menyertai skuad kebangsaan iaitu Gabriel Palmero.
“Gabriel Palmero sertai Hector Hevel sebagai pemain baru Harimau Malaya yang berada di luar negara. Pemain kelahiran Sepanyol yang beraksi bersama CD Tenerife B baru berusia 23 tahun,” ujar beliau menerusi media sosial X.
Malah, keadaan terkini menyaksikan kedua pemain itu sudah pun mula menjalani sesi latihan bersma skuad kebangsaan semalam.
Reputasi semasa pemain itu musim ini menyaksikan beliau sudah beraksi sebanyak 22 perlawanan tanpa sebarang jaringan atau bantuan gol selaku pertahanan kiri.
Ketika ini, Gabriel beraksi di saingan divisyen keempat Sepanyol bersama skuad simpanan CD Tenerife B yang menghuni kedudukan pertama di kumpulan ke-12.
Persoalan timbul di sini, jika kehadiran dua pemain warisan itu mampu untuk memberikan kekuatan tambahan buat pasukan kebangsaan atau sebaiknya bergantung kepada tenaga tonggak naturalisasi serta tempatan.
Mengapa persoalan tersebut timbul?
Melihat kembali pada tenaga naturalisasi, kami beranggapan mereka lebih baik daripada calon warisan atas faktor para pemain tersebut sudah memahami serta terbiasa akan budaya di Malaysia.
‘Punch card’ hari pertama, Hector Hevel dan Gabriel Palmero kini Harimau Malaya.
@ASTROARENA pic.twitter.com/45pWyGQLvM
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) March 19, 2025
Malah, mereka juga sudah pun beradaptasi dengan pemain tempatan lain untuk menyaksikan masalah persefahaman tidak menjadi kesukaran utama.
Contoh terbaik calon naturalisasi yang mungkin boleh diperkenalkan selepas ini untuk menjadi tunjang kekuatan Harimau Malaya ialah Bergson da Silva (Brazil), Jordan Mintah (Ghana), Yuki Tanigawa (Jepun), Manuel Hidalgo (Argentina), serta Rafael Vitor (Brazil).
Mereka yang disebut ini sebenarnya memiliki reputasi yang bagus sebelum menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) serta meneruskan momentum positif selepas beberapa tahun di sini.
Apapun, ‘tepuk dada tanya selera’ dan ia terserah buat kejurulatihan kebangsaan sendiri untuk menilai pemain-pemain warisan yang lebih baik serta berpengalaman buat skuad kebangsaan.
Mungkin juga, karier pemain-pemain warisan baharu ini akan jauh lebih baik sekiranya mereka menyertai skuad kebangsaan, sekali gus membuatkan pengurusan kebangsaan mampu menarik lebih ramai tonggak-tonggak terbaharu dari luar negara yang memiliki pertalian darah bersama Malaysia.
Pandangan anda?