Akhbar Berita Harian semalam melaporkan beberapa pemain Terengganu FC (TFC) meluahkan rasa tidak puas hati dengan sikap tidak professional pemain Melaka United (MU) ketika aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat kelmarin.
Menurut laporan itu, mereka mengakui kecewa apabila pemain MU tetap meneruskan permainan walaupun terdapat seorang pemain lawan rebah mengalami kecederaan.
Pemain tengah TFC, Abdul Latiff Suhaimi mengkritik sikap pemain MU yang tidak mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi ketika pemain pertahanan TFC, Igor Zonjic terbaring kesakitan akibat kecederaan.
“Kami tidak mahu menyalahkan keseluruhan pemain skuad itu yang tidak mempedulikan Zonjic yang cedera tapi bagi kami tindakan pemain Melaka itu yang meneruskan permainan adalah tidak wajar kerana ada pemain lawan terbaring akibat kecederaan.
“Kebiasaannya apabila seseorang pemain lawan cedera apatah lagi ketika itu situasi bola berada di luar padang, sebagai pemain kita perlu ada semangat ‘fair play’ dan melihat situasi semasa.
“Mungkin pihak lawan mengamalkan taktikal bermain secara cepat ketika mendapat hantaran bola masuk atau sepakan percuma selain ketinggalan ketika itu menyebabkan pemain mereka tidak menghiraukan Zonjic yang cedera sebaliknya meneruskan permainan,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Insiden itu telah menimbulkan kemarahan pemain TFC ketika skuad Penyu mendahului lawan dengan satu gol sebelum berjaya menambah dua lagi jaringan untuk mencatat kemenangan bergaya 3-0.
Sementara itu, penyerang TFC, Kipree Tchetche turut menyatakan sepatutnya pasukan MU tidak meneruskan balingan bola masuk.
“Tapi mungkin mereka berada dalam posisi menyerang dan ketika itu ketinggalan menyebabkan mereka memikirkan tidak perlu membuang bola keluar, ” katanya yang meledak dua jaringan.