Serie A kebelakangan ini menghasilkan banyak pasukan yang berkualiti.
Hasilnya dapat dilihat pada musim lalu, saingan liga mereka cukup menarik dengan Inter Milan berjaya menamatkan dominasi Juventus.
Walaupun begitu, kualiti yang ada pada mereka tidak dapat diterjemah ketika mereka mewakili Itali di saingan kejohanan Eropah.
Menurut pengendali AC Milan, Stefano Pioli, kurangnya kompeten daripada kelab-kelab Itali di Eropah adalah disebabkan perangai pemain itu sendiri.
Salah satu sebabnya adalah pemain suka membuang masa di atas padang dengan sering membantah keputusan pengadil.
Bagi Pioli, tindakan yang dilakukan pemain membuatkan momentum perlawanan jatuh dan ianya memperlahankan tempo permainan.
“Pasukan Itali selalu sukar bersaing di Eropah kerana tempo perlawanan yang berbeza.”
“Perkara ini perlu diatasi, jika tidak kita akan mengalami masalah untuk bermain dalam perlawanan yang berbeza suasananya.”
Pioli menjelaskan yang pemain-pemain Serie A lazimnya suka membuang masa membantah keputusan pengadil sambil terlalu kerap perlawanan diberhentikan untuk sepakan percuma.
Malah, masa juga terbuang kerana dihabiskan untuk menunggu terutamanya apabila ianya melibatkan Video Assistant Referee (VAR).
Perlawanan antara Milan dengan Juventus tempoh hari dianggap sebagai perlawanan yang cukup singkat kerana hanya 48 minit sahaja perlawanan dimainkan dengan bola sepak sebenar.
Selebihnya, masa terbuang kerana perkara yang sia-sia.
Kerana tempo perlahan ini menyebabkan Milan menerima padah apabila gagal untuk bersaing dengan kelajuan permainan Liverpool dalam aksi Eropah tempoh hari.
Walaupun berjaya mendahului, kegagalan mereka untuk mengekalkan momentum di penghujung permainan membuatkan Milan tumbang 3-2 di tangan Liverpool.