Pemain-pemain Tottenham Hotspur akan membayar semula semua duit tiket penyokong yang menyaksikan mereka dibelasah 6-1 oleh Newcastle United di St James Park pada hujung minggu lalu.
Menurut kenyataan kelab, semua pemain turut meminta maaf di atas persembahan buruk yang ditampilkan dan berjanji akan melakukan apa sahaja untuk kembali bersaing untuk mengejar kedudukan empat terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kekalahan mengaibkan tersebut juga menjurus kepada pemecatan jurulatih interim Cristian Stellini pada Isnin dan kini tugasan diserahkan kepada Ryan Mason yang akan mengambil tempat sehingga kelab mendapat pengganti.
Straight to work 📸 pic.twitter.com/Lz1CRNHRZ7
— Tottenham Hotspur (@SpursOfficial) April 25, 2023
“Sebagai pasukan, kami memahami kekecewaan dan kemarahan anda. Tapi kami sedar kata-kata maaf sahaja tidak cukup untuk situasi seperti ini. Tetapi percayalah, kekalahan seperti ini amat menyakitkan,” ujar pemain Spurs dalam kenyataan yang disiarkan oleh pihak kelab.
“Kami menghargai sokongan anda, di gelanggang sendiri dan tempat lawan. Dengan itu, kami memutuskan untuk membayar semula segala kos bagi tiket perlawanan di St James Park.
“Kami tahu perkara ini tidak akan mengubah apa yang telah berlaku pada Ahad lalu dan kami akan berikan segalanya untuk membetulkan keadaan apabila berdepan Manchester united pada Khamis petang ini.
“Sekali lagi, sokongan anda adalah segalanya buat kami.”
Tottenham kini mendudukan tangga keenam liga dengan mengumpul 53 mata, enam mata di belakang United di tempat keempat, tetapi sudah beraksi lebih dua perlawanan.
Spurs merupakan salah satu pasukan yang menubuhkan Lembaga Penasihat Penyokong (FAB) untuk memastikan kumpulan penyokong diberi maklum tentang segala keputusan kelab.
FAB akan bermesyuarat empat kali setahun, dan salah seorang wakilnya akan menghadiri mesyuarat lembaga kelab sekurang-kurangnya empat kali setahun, sementara jawatankuasa pula akan fokus kepada isu-isu dalam kalangan penyokong.
Langkah tersebut mula diperkenalkan pada Jun tahun lalu oleh beberapa kelab Inggeris sebagai perancangan untuk meningkatkan keterlibatan para penyokong.
Mesyuarat pertama FAB Spurs dijangkan diadakan pada Julai ini.