Pemain bola sepak dari Singapura, Ben Davies bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang. Ben Davies kini berkelana ke England setelah menandatangani kontrak bersama Fulham pada tahun lalu.
Beliau dahulunya merupakan bekas pelajar Sekolah Sukan Singapura.
Kenapa?
Ben Davies gagal untuk kembali ke Singapura bagi menjalani Perkhidmatan Negara – mirip Program Latihan Khidmat Negara yang diwujudkan di Malaysia.
Sebelum ini, permohonan beliau untuk menangguhkan bagi menyertai program ini itu telah ditolak oleh Kementerian Pertahanan negara tersebut. Dilaporkan program itu wajib disertai oleh kaum lelaki yang menjadi warganegara Singapura.
Kementerian Pertahanan Singapura juga menyatakan permohonan penangguhan itu akan ditolak jika alasan kerjaya dibuat. Pengecualian hanya dibuat kepada atlet yang mewakili Singapura dalam kejohanan sukan antarabangsa seperti Sukan Olimpik.
Masuk parlimen
Kontroversi ini mula mendapat tempat di dada media Singapura. Malah, isu ini turut menjadi perhatian di Parlimen Singapura apabila Menteri Pertahanan, Dr. Ng Eng Hen menjawab soalan dikemukakan.
Salah satu faktor yang mendorong kerajaan Singapura menolak permohonan itu ialah Ben mendaftarkan dirinya sebagai warganegara Britain, bukannya Singapura.
Sedangkan, Ben memiliki pasport Singapura, Britain dan Thailand (melalui ibunya). Beliau kini berusia 18 tahun dan dilahirkan di Thailand.
Sokongan?
SportSG, agensi berkaitan sukan di Singapura dilaporkan menyokong tindakan kementerian tersebut menolak permohonan penangguhan Ben.
Sekiranya disabitkan bersalah, pemain bola sepak tersebut akan dihukum sama ada didenda 10 ribu Dolar Singapura atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Nampaknya agak rumit kes sebegini. Wajarlah ada pihak yang beralah demi kebaikan pemain muda ini. Ada baiknya juga pada kemudian hari.