Melalui satu pendedahan ekskulusif kepada Sky Sports, bekas presiden, Roman Calderon berkata ‘pemain-pemain utama’ di Real Madrid telah menolak idea untuk Jose Mourinho kembali ke Bernabeu – dan memilih Zinedine Zidane.
Pengendali dari Perancis itu kembali menyertai Real Madrid untuk menggantikan Santiago Solari yang dipecat – hanya kurang lima bulan mengendalikan kelab tersebut menggantikan Julen Lopetegui pada Oktober lalu.
Zidane pula dianggap wira di kalangan Madrista selepas memberikan tiga kejuaraan UEFA Champions League secara berturut-turut – sebelum mengejutkan ramai dengan pelepasan jawatan beliau sembilan bulan yang lalu.
Mourinho pilihan utama
Sebelum ini Calderon pernah mendedahkan bahawa Mourinho adalah pilihan utama pihak kelab untuk menggantikan Solari. Namun cadangan itu dibantah oleh pemain-pemain utama Los Blancos.
Mourinho yang meninggalkan Real pada 2013 juga adalah pilihan popular di kalangan penyokong – turut bersorak nama bekas pengendali Manchester United itu selepas menyaksikan pasukan mereka dibelasah 4-1 oleh Ajax.
“Mereka di bilik persalinan memaksa cadangan untuk tidak membawa Mourinho kembali.
“Beliau [Mourinho] meninggalkan Real Madrid dengan banyak masalah. Saya pula berpendapat beliau akan menambah satu lagi masalah kepada apa yang kita ada sekarang, sekiranya menjadi pilihan.
“Memilih Mourinho seperti anda mengambil satu langkah ke belakang. Terlalu banyak masalah dan kontroversi ketika dia berada di sini.
“Mourinho adalah jurulatih yang baik dengan jumlah trofi yang banyak. Namun pemain-pemain utama tidak sebang dengan beliau, dan itu adalah penting ketika kelab ingin membuat keputusan.”
Zidane idola semua orang
Mengenai perlantikan Zidane dan kontrak tiga tahun setengah yang dipersetujui, Calderon berkata: “Pemain sukakan Zidane dan beliau mampu mengubah idea-idea daripada jurulatih seperti Rafa Benitez dan Jose Mourinho yang lebih tegas.
“Dan sudah tentu, Zidane juga adalah idola penyokong setelah pernah beraksi untuk kelab dan selepas itu menjadi pengurus yang berjaya terutama di saingan eropah.”