Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) terus menjadi tumpuan selepas 18 pemain Perlis Northern Lions 2 (PNL2) membuat laporan Polis berhubung dakwaan penipuan kontrak dan penyelewengan wang pemain.
Laporan ini sememangnya merupakan tamparan hebat buat PFA yang kini dalam usaha rayuan kepada pihak Malaysian Football League (MFL) untuk kembali membawa skuad Perlis beraksi dalam saingan Liga Premier 2019.
Menurut sumber BH Online, barisan pemain yang diketuai bekas ketua pasukan, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman itu membuat laporan Polis ke atas bekas Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dan Timbalan Presiden, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan.
Berkenaan dakwaan penipuan kontrak, Ezzrul mendedahkan bahawa Datuk Amizal sendiri mengakui bahawa kontrak yang ditandatangani mereka adalah tidak sah.
“Laporan ke atas Datuk (Ahmad Amizal) dibuat kerana dia menjanjikan kontrak semusim dan kami semua diarahkan untuk menandatanganinya namun dia sendiri memungkirinya.
“Dia sendiri mengaku bahawa kontrak kami itu tidak sah kerana dia tidak menandatanganinya.
“Perkara ini terbongkar pada 25 Januari lalu dalam pertemuan tertutup antara dia dan kami di sebuah hotel di daerah ini dan selama hampir dua bulan ini kami menjalani latihan secara buta.”
Dalam pada itu, satu lagi laporan dibuat terhadap Abdul Karim kerana beliau didakwa melakukan penyelewengan wang bernilai lebih RM11,000 dalam kalangan pemain PNL2.
Alasan yang digunakan adalah untuk membuat pembayaran gaji barisan kejurulatihan dan 18 pemain.
“Namun selepas diperiksa oleh kami sendiri terhadap jurulatih, mereka tidak menerima sebarang bayaran seperti didakwa Karim malah dia turut mengutip RM500 setiap jurulatih untuk satu transaksi yang tidak jelas.
“Jadi kami nak tahu wang itu ke mana dan saya harap pihak polis menyiasat perkara ini. Bagi pihak pengurusan Liga Malaysia pula, saya harap mereka mengambil perhatian akan isu ini dan selesaikanlah dengan kadar segera,” kata Ezzrul Ikmanizar.
Kedua-dua laporan itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kangar, semalam.