“Pemain Perlu Disiplin Jika Ingin Jadi Profesional” – David Rowley

Pemain kacukan Malaysia-Australia, David Rowley bakal menikmati satu lagi musim terbaik beliau dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M), setelah kini konsisten empat musim beraksi di saingan Liga Super dengan terbaharu bersama Sri Pahang untuk musim 2022.

Sebelum itu, Rowley memulakan karier beliau terlebih dahulu di Malaysia dalam Liga Premier bersama PDRM. Namun nasib tidak menyebelahi beliau untuk mencapai impak positif apabila pemain ini mengalami kecederaan sebelum berhijrah ke Negeri Sembilan.

Detik menarik beliau dalam bola sepak Malaysia apabila Rowley menyertai pasukan Liga Super, Kedah pada pertengahan musim 2019 setelah beraksi sebelum itu bersama Kelantan.

Bersama Kedah, nama pemain ini mula menonjol apabila berjaya memberi impak positif untuk menutup mulut para pengkritik dengan menyumbang corak permainan yang berkesan selain berjaya membantu skuad kendalian Aidil Sharin ini menjulang Piala FA pada 2019.

Rowley juga membuka dua akaun jaringan beliau sepanjang dua tahun bersama kelab yang berpangkalan di utara tersebut dan menjadi salah seorang pemain dalam kesebelasan utama beraksi di Korea Selatan bagi saingan kelayakan ACL 2020 menentang Seoul FC.

Pada tahun lalu, Rowley berhijrah ke sebuah lagi kelab berasal dari utara iaitu Penang. Bersama Tomas Trucha, Rowley antara pemain utama yang amat penting dan berjaya meledak 3 gol keseluruhan daripada 25 penampilan untuk membawa kelab tersebut menduduki tangga ketiga terbaik Liga Super biarpun baru musim pertama skuad tersebut kembali beraksi di Liga Super.

Beliau membawa haluan baru dengan menjadi antara pemain Sri Pahang musim ini bagi memulakan cabaran tahun 2022 di Liga Malaysia.

Ketika ditanya mengenai cabaran beraksi di Malaysia, Rowley menyatakan diri agak sukar untuk beraksi di setiap padang yang ada di negara ini kerana ada sesetengahnya tidak begitu diselenggara dengan baik.

“Tahap permainan bola sepak di Malaysia amat baik. Saya boleh beradaptasi dengan cepat. Cuma sedikit bermasalah pada saya adalah untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai padang berbeza. Ada sesetengah padang tidak berada dalam keadaan yang bagus untuk pasukan beraksi”, terang pemain ini.

Rowley yang mempunyai pengalaman berkelana di pelbagai kelab Eropah sebelum ini turut melihat para pemain Malaysia berpotensi untuk menjadi lebih baik di pasaran antarabangsa.

Apa yang diperlukan mereka menurut pemain ini adalah disiplin yang tinggi selain menuntut fokus para pemain muda memberi tumpuan sepenuhnya dalam apa yang mereka belajar di atas padang selain bersikap profesional.

“Selain pembangunan pemain muda yang pesat dan kualiti padang yang baik, para pemain juga wajar memberi fokus yang tinggi ketika latihan serta menjadi seorang yang berdisiplin tinggi untuk mempamerkan ciri-ciri seorang yang profesional”,katanya.

Bekas pemain Inter Leipzig ini ketika ditanya mengenai persiapan bersama Sri Pahang, beliau menyatakan keputusan pramusim tidak begitu penting kerana setiap perlawanan, jurulatih pasti akan mengubah taktikal dan menggabungkan beberapa gandingan baharu untuk disesuaikan.

Sasaran utama beliau juga pada musim ini adalah untuk membantu Pahang sehabis baik setelah menyedari skuad ini sejak dua musim lalu tidak begitu memberi impak dalam saingan liga.

Dalam masa sama, Rowley juga memuji aksi pemain tengah negara, Azam Azih yang disifatkan beliau sebagai seorang yang sangat tenang dan berkebolehan tinggi dalam mencipta hantaran jauh.

Rowley juga tidak sabar untuk belajar lebih banyak daripada pengendali pasukan, Christophe Gamel yang dilihat sangat tegas dan mempunyai rangkaian taktikal yang bagus untuk pasukan selain memandang tinggi buat para pemain.

Akhir sekali, Rowley juga mengucapkan selamat kembali ke stadium buat para penyokong bola sepak negara dan aksi yang lebih menarik bakal dipamerkan oleh Sri Pahang musim ini berbanding tahun-tahun lalu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN