Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tanpa berselindung mendedahkan bahawa dua pemain import dalam saingan Liga Malaysia, Lee Tuck dan Gonzalo Cabrera merupakan antara calon yang boleh dipertimbangkan bagi menjadi pemain naturalisasi negara.
Lee Tuck merupakan aset penting buat Terengganu FC buat tiga musim sebelum dilepaskan bagi menghadapi saingan 2021 ekoran kekangan kewangan dan dikatakan semakin hampir untuk bergelar pemain import baharu Pahang.
Manakala, kewibawaan Cabrera tidak boleh dipertikaikan lagi berikutan kemampuannya menjadi antara tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam meraih gelaran juara Liga Super 2017,2018, 2019 dan 2020.
Lebih penting, pemain kelahiran England dan Argentina itu bakal beraksi buat musim (tahun) kelima mereka di Malaysia di mana antara syarat naturalisasi yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ialah seseorang pemain itu perlu beraksi di liga satu-satu negara dalam tempoh lima tahun berturut-turut.
Sehubungan dengan sumbangan berkesan ditampilkan kedua-dua pemain tersebut bersama kelab masing-masing, pengendali berusia 52 tahun itu melihat prestasi baik mereka menjadi keutamaan buat skuad kebangsaan meskipun Lee Tuck dan Cabrera sudah pun melepasi usia 30 tahun.
Beliau juga dalam masa sama turut mengaitkan keadaan tersebut dengan sumbangan hebat dijelmakan pemain-pemain veteran yang masih lagi mampu memberikan sumbangan hebat dalam saingan bola sepak di Eropah.
Menurut sumber Berita Harian (BH) Online, Tan Cheng Hoe bagaimanapun melihat idea ini bukanlah bersifat jangka masa panjang dan sudah pastinya mengakui kepentingan dalam melahirkan bakat tempatan yang berkualiti.
“Kalau kita lihat pemain naturalisasi di mana-mana negara pun adalah sementara sahaja, yang mana matlamatnya untuk menguatkan pasukan. Tapi untuk jangka masa panjang, kita masih memerlukan bakat anak tempatan juga.”
“Kalau pemain itu nampak lebih baik daripada pemain tempatan kita akan bagi mereka peluang. Sudah tentu usia satu faktor besar juga, tapi kadang-kadang terpulang kepada individu itu sendiri.”
“Seperti Zlatan Ibrahimovic masih berbisa bersama AC Milan, dan Cristiano Ronaldo, walaupun sudah berusia 35 tahun tapi masih lagi menjadi penyerang yang berbahaya.”
“Namun kita perlu lihat juga sama ada mereka (Lee Tuck dan Cabrera) mahu mewakili pasukan kebangsaan atau tidak. Tidak dinafikan Cabrera beraksi dengan baik bersama JDT dan Lee Tuck bersama TFC,” ujar Tan Cheng Hoe bercakap kepada wartawan BH Online.
Kredit featured image: Toru Hanai/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai pemain naturalisasi:
FAM: Bukan Mudah Nak Dapat Pemain Naturalisasi Untuk Harimau Malaya