Pemain-pemain muda Malaysia mungkin perlu tampil dengan lebih realistik jika mereka ingin beraksi di luar negara supaya tiada sebarang isu yang menyebabkan segalanya tampil serba tidak menjadi.
Melihat kepada perjalanan setiap kelab di Malaysia yang kebanyakan mengalami masalah kewangan serta sukar untuk mendapat minit permainan atas persaingan sengit, tidak salah untuk mereka cuba mendapatkan pengalaman di luar negara.
Walaupun begitu, tiada jaminan untuk setiap pemain muda yang beraksi di luar negara bakal mendapat peluang serta tiada sebarang halangan jika melihat kepada sejarah-sejarah lalu pernah kita dengari sebelum ini.
Untuk awal tahun 2025, dua pemain muda Malaysia sudah pun mendapat peluang untuk mewakili kelab di luar negara dan ia boleh dianggap sebagai permulaan cukup positif bagi perkembangan semasa bola sepak kita.
Muhammad bin Abu Khalil dan Fergus Tierney ketika ini dilaporkan sah menjadi milik Nakhon Pathom United bagi saingan utama di Thailand dan keduanya masih lagi muda.
Kualiti Fergus Tierney Mampu Pacu Nakhon Pathom Kini Di Thailand
Menurut Nazreen Izahar selaku pemerhati bola sepak tempatan, beliau melihat situasi itu sebagai sangat positif selain beberapa nasihat turut diberikan kepada pemain muda lain jika mereka ingin mengikuti jejak langkah Muhammad serta Tierney.
“Pertama sekali, situasi Muhammad adalah kes khas kerana dia tak boleh balik ke Selangor atas faktor jendela perpindahan Liga Super sudah ditutup.
“Tapi, ia ibarat ‘rezeki’ untuk dia kerana dapat beraksi di Thailand yg bagus liganya selepas dapat beraksi di J3.League.
“Untuk pemain muda, jika mereka tanam hasrat untuk beraksi di luar negara, itu sangat bagus kerana ia nampakkan mereka berani ambil cabaran dan sedia meningkatkan kualiti mereka.
“Kalau ke mana destinasinya tu, setiap negara tetap sediakan cabaran tersendiri dari segi kualiti bola sepak, budaya dan cara hidup seperti kekangan bahasa (language barrier).
“Untuk permulaan, pemain kita boleh mensasarkan main di negara sekitar seperti Indonesia, Singapura dan Thailand. Tapi jika mereka bersedia untuk teroka dunia, tak salah kalau cuba sampai beraksi di negara utama Asia atau pun Eropah.
“Yang penting, mereka kena kental supaya tak pulang awal dan berjaya jadi pemain berkualiti di sana. Peluang datang sekali, jadi kalau dapat gunakan sebaiknya,” kata Nazreen kepada Semuanya BOLA.
Pada pengamatan kami pula, pemain muda perlu tampil bersedia daripada segi kualiti fizikal serta mental jika mereka ingin cuba beraksi di luar negara selain menjadi lebih realistik.
Tiada jaminan setiap pemain yang beraksi di luar negara akan tampil lebih baik daripada keadaan semasa, melainkan ia sebagai sebuah pengalaman berguna kepada mereka demi menjadi lebih matang.
Setiap saingan liga mempunyai cabaran tersendiri, apa yang penting pemain perlu memilih serta menilai kelab terbaik untuk mengelak masalah seperti isu kewangan pada masa hadapan.