Di dunia Barat terutamanya Perancis, fobia terhadap Islam atau Islamophobia masih lagi kuat dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.
Tidak kira dalam kancah apa pun termasuk bola sepak, fobia itu masih lagi ada dan sukar untuk dibendung.
Terkini, salah seorang pemain beragama Islam yang beraksi di Ligue 1 terpaksa menerima kesan akibat pilihannya untuk terus berpuasa.
Jaouen Hadjam yang beraksi untuk Nantes dijangka tidak akan diturunkan oleh pasukannya sepanjang Ramadan ini kerana memilih untuk berpuasa.
Hal ini disebabkan kelabnya meletakkan peraturan tidak membenarkan para pemainnya untuk berpuasa ketika hari perlawanan, ianya telah memberikan kesan kepada Hadjam untuk melakukan penampilan buat kelabnya.
Menurut ESPN, pengendali Nantes, Antoine Kombouare telah menetapkan peraturan yang setiap pemainnya yang beragama Islam tidak dibenarkan berpuasa pada hari perlawanan.
Sekiranya tetap memilih untuk berpuasa, maka pemain tersebut tidak akan dipilih untuk beraksi bagi sesebuah perlawanan tersebut dan inilah yang terjadi kepada Hadjam.
Tindakan ini pada hemat Kombouare mungkin dilihat agak logik dan tiada kontroversi, tetapi ianya tidaklah wajar untuk menafikan tempat seseorang pemain itu dalam pasukan hanya kerana mahu menjalankan tugasnya sebagai seorang Muslim.
“Tiada kontroversi mengenai perkara ini. Kepada mereka yang hendak berpuasa, saya menyokong mereka. Tapi ketika hari perlawanan, anda tidak sepatutnya berpuasa.
“Saya buat begini bukanlah kerana ingin menghukum, tetapi saya cuma menetapkan peraturan. Itu pilihan dia, dan saya hormatinya,” kata Kombouare selepas pasukannya kalah 3-0 kepada Stade de Reims.
Sebagai kontra, pemain Liverpool, Mohamed Salah turun beraksi ketika pasukannya kalah 4-1 kepada Manchester City dalam aksi tengah hari untuk Premier League.
Lebih menarik, beliau siap menjaringkan gol lagi untuk The Reds!