Pemain legenda Kedah, Liridon Krasniqi sah tidak akan menyarung jersi Kedah FA dalam saingan Liga Malaysia pada musim hadapan, selepas persatuan itu mengesahkan tidak akan meyambung kontrak pemain tersebut.
Selain daripada Liridon, tiga lagi pemain import yang lain iaitu Sandro Mendonca, Alvaro Silva, Paolo Rangel dan Andik Vermansyah turut disahkan tiada di dalam perancangan Kedah yang bakal dikendalikan oleh jurulatih dari Singapura, Aidil Sharin.
Liridon dan Sandro ialah dua pemain import yang bersama Kedah sejak musim 2015 lagi. Kedua-duanya berjaya membantu pasukan dari utara tanah air itu menjuarai kejuaraan Liga Perdana pada 2015, dan muncul naib juara Piala Malaysia pada tahun yang sama.
Musim berikutnya, Kedah muncul juara Piala Malaysia dengan kedua-dua pemain import menjadi tunjang utama pasukan ketika dibawah kendalian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.
Selain daripada Piala Malaysia, Sandro dan Liridon turut membantu Kedah muncul juara Piala FA pada musim 2017, dan naib juara Piala Malaysia pada tahun yang sama selepas ditewaskan oleh JDT di perlawanan akhir.
Alvaro Silva pula ialah pemain pertahanan berkerakyatan Filipina yang dibawa masuk oleh bekas jurulatih Ramon Marcote.
Andik Vermansyah juga dibawa masuk oleh jurulatih dari Sepanyol itu untuk mengisi slot pemain asing dari Asia Tenggara.
Manakala Pablo Rangel ialah penyerang import yang dibawa masuk oleh Kedah pada jendela perpindahan kedua musim lalu untuk menggantikan Pablo Pallares yang gagal menyegat bersama Lang Merah pada musim lalu.
Kredit Foto selain dinyatakan: Sinar Harian