Isu tunggakan gaji kembali ‘memeriahkan’ saingan Liga Malaysia apabila pemain skuad The Red Warriors dilaporkan masih belum menerima gaji mereka sejak bulan Februari lalu.
Menurut sumber daripada La BOLA Malaya, pemain Kelantan sepatutnya menerima gaji bulan Februari mereka pada 7 Mac lalu namun sehingga kini pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) gagal menunaikan janjinya.
KAFA mendakwa pihak KRW Sdn Bhd telah berjanji pembayaran akan dibuat sebelum 30 Mac dan gaji bulan Mac pula akan dibayar pada 15 April. Tetapi sehingga sekarang belum dibayar (Februari).
“Pemain diminta bersabar sebab mereka kata lewat menerima dokumen kontrak dari KAFA tetapi sampai bila, nak pergi training sekalipun perlukan kos. Saya yakin pihak KRW sedang mengusahakan tetapi janganlah ambil masa lama kerana ia akan jejaskan motivasi pemain,” kata sumber tersebut dalam laman facebook La BOLA Malaya.
Bulan Februari lalu, KAFA mengumumkan kerjasama dengan sebuah syarikat swasta iaitu MYINSPIRATION SDN BHD bagi memacukan pasukan bolasepak negeri kearah sebuah pasukan bolasepak yang lebih professional dan terancang.
Kerjasama di antara dua entiti ini akan bergabung di bawah satu syarikat yang dikenali sebagai KELANTAN RED WARRIORS SDN BHD (KRW).
My Inspiration + KAFA = Krw Sdn Bhd
1. Uruskan team Senior, Pres & Belia ❎
2. Restructuring debts & selesaikan dalam Feb 2019 ❎
3. 2019 professional management ❎
4. Bayar gaji on-time ❎
5. Keluarkan 'blueprint' & plan jangka panjang ❎Cukuplah sekadar sebut 5 janji 😘 pic.twitter.com/SL98gqRyoR
— 𝔹𝕖𝕣𝕚𝕥𝕒 𝔹𝕠𝕝𝕒 𝕂𝕖𝕝𝕒𝕟𝕥𝕒𝕟 (@TwtBolaKelate) March 31, 2019
KRW juga dikatakan akan membawa masuk sejumlah besar dana dan berjanji akan menyelesaikan segala hutang lapuk KAFA secara berperingkat, namun dikhabarkan sehingga kini masih belum ada perkembangan positif mengenainya.
Tindakan penyerang import dari Uruguay, Raul Tarragona yang membuat keputusan untuk menamatkan kontrak dengan skuad itu berkuatkuasa serta merta semalam turut mempunyai kaitan dengan isu tunggakan gaji yang melanda pasukan tersebut.
Tarragona yang ditandatangani pada 29 Januari lalu membuat empat penampilan daripada lima aksi perlawanan Liga Premier 2019 dan mencipta satu jaringan gol dalam perlawanan terakhirnya, Jumaat lalu.
Penyerang berusia 32 tahun itu hadir ke Kelantan dengan reputasi rekod cemerlang bersama kelab Korea Selatan, Arsan Greeners apabila menyumbat 25 gol sepanjang bersama kelab yang beraksi dalam K League 2 itu musim lalu.
Situasi yang berlaku di Kelantan seakan-akan seperti apa yang berlaku dengan skuad Perlis Northern Lions sehingga menyebabkan pasukan itu dibatalkan penyertaan dalam Liga Malaysia kerana masalah kewangan yang serius.