Kempen Liga Malaysia 2019 akan bermula genap seminggu sahaja lagi. Rata-rata pasukan bertanding sedang rancak melakukan persiapan untuk mengharungi musim baharu sejak beberapa bulan yang lalu.
Antara yang menjadi tumpuan penyokong ialah senarai pemain import yang diumumkan oleh setiap pasukan. Ada diantara pemain import yang didaftarkan oleh pasukan-pasukan setakat ini beraksi pertama kali di rantau Asia Tenggara. Tidak kurang juga yang tiba dengan reputasi menggerunkan.
Menariknya untuk kempen Liga Malaysia yang akan datang, slot pemain import turut menampilkan muka-muka lama yang sudah sinonim dengan kancah saingan Liga Malaysia. Berikut adalah enam pemain import yang sudah sah kembali beraksi di Liga Malaysia 2019, setelah sebelum ini meneruskan karier masing-masing di tempat lain.
Gabriel Miguel Guerra (PKNS FC)
Bekas pemain Boca Juniors mulai beraksi di Liga Malaysia pada musim 2015 bersama PKNS FC di saingan Liga Premier. Dua musim bersama skuad Semut Merah, Guerra membantu PKNS FC muncul juara Liga Premier dan naib juara Piala FA pada 2016, sebelum berhijrah menyertai JDT pada musim berikutnya.
Semusim bersama JDT, Guerra membentuk gandingan yang mantap dengan seorang lagi pemain import dari Argentina, Gonzalo Cabrera. Berjaya menjaringkan tujuh gol dari 20 penampilan di Liga Super, dan membantu skuad Harimau Selatan mengekalkan kejuaraan liga buat musim keempat berturut-turut pada ketika itu.
Kembali ke Argentina, Guerra kemudiannya menyertai Huracan sebelum kontrak beliau dengan kelab Amerika Selatan itu ditebus oleh PKNS FC – untuk memastikan penyerang berusia 25 tahun ini kembali beraksi di Liga Malaysia.
Chan Vathanaka (PKNS FC)
Menyerlah bersama Kemboja di Kejohanan Piala AFF Suzuki 2016 – termasuk dua jaringan menentang Malaysia – Chan Vathanaka pantas menarik perhatian Dollah Salleh di Pahang untuk menghadapi kempen Liga Malaysia 2018.
Beliau akhirnya diumumkan menyertai skuad Tok Gajah pada Disember 2017 dari kelab Liga J3 Jepun, Fujiyeda MYFC untuk menjadi pemain dari Kemboja pertama beraksi di Liga Malaysia. Merupakan pemain terbaik Kemboja pada 2017, jodoh Vathanaka bersama Pahang hanya kekal separuh musim, apabila digantikan dengan Issey Nakajima pada jendela perpindahan kedua musim lalu.
Hanya menjaringkan 1 gol dari 10 penampilan untuk Pahang, pemain sayap ini kembali ke negaranya untuk beraksi bersama kelab tempatan, Boeung Ket sebelum dilamar oleh PKNS FC untuk saingan Liga Malaysia 2019.
Dickson Nwakaeme (Pahang FA)
Pemain import dari Nigeria ini mula mewarnai kancah saingan Liga Malaysia apabila menyertai Kelantan pada musim 2013. Berjaya membantu The Red Warriors muncul juara Piala FA pada musim tersebut selepas menewaskan JDT di perlawanan akhir, ia adalah kejuaraan terakhir yang dimiliki oleh pasukan dari pantai timur itu sehingga kini.
Berhijrah untuk menyertai Pahang selepas itu, Nwakaeme digelar ‘orang besi’ kerana fizikal yang dimilikinya, dan pemain penyerang ini membantu skuad Tok Gajah muncul juara berganda pada musim 2014 -sebagai juara Piala FA dan Piala Malaysia.
Berhijrah ke Ligue 1, Perancis, tempoh Nwakaeme bersama Angers SCO dianggap sebagai satu kegagalan apabila penyerang bertubuh sasa itu telah menjaringkan gol sendiri sehingga menyebabkan kelabnya itu tewas 1-2 kepada AS Monaco pada 24 September 2016. Beliau dikhabarkan tidak beraksi di dalam perlawanan kompetitif selama dua tahun sebelum kembali menyertai Pahang untuk Liga Malaysia 2019.
Taylor Regan (Selangor FA)
Taylor Regan pertama kali beraksi di Liga Malaysia pada musim 2016, apabila beliau menyertai Negeri Sembilan yang bersaing di Liga Premier pada ketika itu. Semusim bersama skuad ‘hobin jang hobin’, Regan membantu skuad kendalian Gary Philips mengakhiri saingan di tangga ketiga pada musim tersebut.
Merupakan kapten pasukan, dan berjaya menjaringkan empat gol sepanjang tempoh tersebut, Regan adalah pemain yang digemari oleh penyokong di Paroi. Regan bagaimanapun kembali ke Australia untuk beraksi bersama Adelaide United.
Ditawarkan untuk menyertai Selangor untuk kempen Liga Malaysia 2019, Regan tidak teragak-agak untuk menyambar peluang kembali beraksi di negara ini.
Yashir Pinto (PKNP FC)
Yashir Armando Islame Pinto adalah pemain kelahiran Chile yang beraksi untuk pasukan kebangsaan Palestine di peringkat antarabangsa. Perkara ini tidak mengejutkan kerana Chile merupakan antara negara yang memiliki populasi Palestin yang besar.
Merupakan anggota pasukan kebangsaan Chile di setiap peringkat umur, Pinto pertama kali beraksi di Malaysia bersama pasukan Melaka United pada jendela perpindahan kedua musim 2016 – membantu skuad Hang Tuah itu muncul juara Liga Premier pada musim tersebut.
Beliau kemudiannya diumumkan sebagai pemain Perak TBG pada musim berikutnya, sebelum kembali ke Chile dan beraksi bersama kelab tempatan, Coquimbo Unido pada musim lalu. Tujuh gol antarabangsa bersama Palestin setakat ini, Pinto menjadi pilihan Abu Bakar Fadzim untuk mengetuai jentera serangan PKNP FC pada musim ini.
Muamer Salibasic (Sarawak FA)
Musim 2013, Sarawak mempunyai rekod unik dalam catatan sejarah Liga Malaysia. Selain daripada muncul juara Liga Premier pada musim tersebut -sekaligus melayakkan skuad Bujang Senang ke saingan Liga Super pada musim berikutnya- pasukan dari Borneo itu menharungi perlawanan liga dengan rekod tanpa kalah sepanjang musim.
Antara faktor utama Sarawak begitu gagah pada musim tersebut adalah kerana kehadiran pemain import dari Bosnia, Muamer Salibasic. Selepas lima tahun meninggalkan skuad Bujang Senang, akhirnya Salibasic kembali mengemudi barisan serangan pasukan Sarawak di saingan Liga Malaysia pada musim ini.
Menariknya, sepertimana pada 2013, Salibasic akan digandingkan semula dengan penyerang tempatan, Bobby Gonzalez
Untuk rekod, Salibasic turut menyertai pemilihan pemain import oleh Sarawak pada musim lalu, namun gagal memikat perhatian bekas jurulatih Ian Gillian. Pernah beraksi bersama Sabah FA selepas meninggalkan Sarawak, Salibasic dilaporkan tidak mempunyai pasukan sejak dua tahun yang lalu.
Penutup
Anda tahu mana-mana pemain import lain yang pernah meninggalkan negara ini, namun kembali untuk mewarnai kancah saingan Liga Malaysia 2019? Kongsikan dengan kami.
Mampukah enam pemain import di atas menyerlah di dalam saingan yang menjadi semakin kompetitif pada musim ini?