Pemain FELDA United Tidak Dibayar Gaji Sejak Bulan September?

Musim baharu Liga Malaysia belum pun bermula namun isu tunggakan gaji terus menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan sehingga kini.

Berita Harian semalam melaporkan juara Liga Premier 2018, FELDA United FC berdepan masalah tunggakan gaji selama tiga bulan sejak bulan September lalu.

Tunggakan gaji tersebut merupakan salah satu sebab beberapa tonggak utama pasukan tersebut berhijrah menyertai pasukan lain selepas mereka bertungkus-lumus membantu pasukan itu layak ke Liga Super musim 2019.

Menurut sumber, tunggakan gaji itu bukan sahaja membabitkan pemain, malah keseluruhan pasukan termasuk barisan kejurulatihan.

“Sebagai pemain profesional, sukar buat kami berdepan dengan masalah tunggakan gaji kerana banyak komitmen perlu diselesaikan.

“Bagi pemain yang tidak disambung kontrak bersama FELDA United musim hadapan, ia memberi kesan kerana memerlukan sumber kewangan untuk mencari pasukan baharu.

“Jika mahu menjalani sesi pemilihan, ia memerlukan modal dan tempoh tiga bulan tunggakan gaji tidak sepatutnya berlaku,” katanya sumber dalam Berita Harian.

Barisan pemain Felda United musim 2018. FOTO: Felda United

Malah, FELDA United tidak seharusnya memberikan alasan menghadapi masalah kewangan kerana bajet pasukan sudah dimuktamadkan pada awal musim.

“Namun, The Fighters kini sedang membentuk pasukan bagi menghadapi saingan Liga Super selepas semusim beraksi di Liga Perdana musim ini.

“Oleh itu, kami meminta pengurusan kelab menyegerakan bayaran gaji kerana ada di kalangan pemain yang tidak dilanjutkan kontrak masih belum mendapat pasukan baharu,” katanya.

PFAM harap semua pasukan Liga Malaysia langsaikan tunggakan gaji sebelum musim baharu bermula

Semalam Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia (PFAM) mengeluarkan kenyataan media menuntut pasukan yang masih mempunyai hutang yang tinggi segera melangsaikannya sebelum musim baharu Liga Malaysia membuka tirainya.

“PFAM ingin mengingatkan kepada pasukan-pasukan yang masih mempunyai tunggakan gaji, untuk mengambil serius soal pembayaran hutang kepada para pemain.

“PFAM melihat, pasukan-pasukan yang berhutang masih lagi tidak mengambil apa-apa inisiatif untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain, namun ironinya sangat rancak dalam menandatangani pemain-pemain baru termasuklah pemain import bagi saingan musim hadapan.

“Perkara ini merupakan suatu perkara yang amat memalukan dan sangat dikesali, terutamanya bila mengenangkan para pemain yang semakin terhimpit dengan hutang dan keterdesakan hidup akibat hilang punca pendapatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.

Leave a Reply