The Death Match: Kisah Pemain Dynamo Kiev Pilih Kematian Untuk Kalahkan Nazi Jerman

23 Ogos 1941.

Apabila tentera Jerman tiba pada musim panas 1941, rakyat Ukraine – yang pada sebelum itu berada di bawah pemerintahan empayar Soviet Union – dianggap sebagai manusia kelas rendah oleh tentera Jerman Nazi.

Mereka hidup hanya untuk memperolehi 200 gram roti seminggu dari tentera Jerman.

Liga bola sepak Soviet terus terbantut. Pemain-pemain Dynamo Kiev yang terselamat daripada penaklukan tentera Jerman di Kiev kini hilang mata pencarian.

Pada ketika itu, mana-mana lelaki dewasa yang tiada pekerjaan akan ditangkap.

Daripada pemain bola sepak kepada pembuat roti

Mujurlah bekas penjaga gol Dynamo Kiev, Nikolai Trusevich, mendapat pekerjaan di sebuah kilang roti milik Josef Kordik, seorang rakyat dan peminat tegar Dynamo Kiev berketurunan Jerman.

Pada ketika itu, tentera Jerman Nazi membenarkan perniagaan milik keturunan Jerman terus dibuka seperti biasa.

Melalui Trusevich, beberapa bekas pemain Dynamo Kiev juga berjaya mendapat pekerjaan di kilang roti tersebut. Pekerjaan ini menjamin bekalan makanan yang stabil untuk keluarga mereka.

Penubuhan kelab bola sepak baru

Pada akhir 1941, tentera Jerman Nazi mula melonggarkan sedikit peraturan dan membenarkan penubuhan kelab sukan di Kiev.

Josef Kordik menggesa bekas-bekas pemain Dynamo Kiev ini menubuhkan kelab bola sepak. Kelab bola sepak mereka dinamakan FC Start. Mereka berlatih di Zenith Stadium.

Antara bekas pemain bintang Dynamo Kiev yang bermain dalam FC Start adalah Nikolai Trusevich (penjaga gol), Alexei Klimenko (pertahanan tengah), Makar Goncharenko (pemain sayap) dan Ivan Kuzmenko (penyerang).

Menentang pasukan tentera Jerman

Perlawanan pertama FC Start berlangsung pada 12 Jun 1942. Dalam perlawanan ini, mereka menentang pasukan himpunan tentera Jerman. Pasukan tentera Jerman menjaringkan gol terlebih dahulu.

Tetapi apabila FC Start mendahului 2-1 pada separuh masa pertama, pegawai tertinggi tentera Jerman mula mengancam akan menembak mati jika mereka terus bermain bersungguh-sungguh pada separuh masa kedua.

Tetapi pemain FC Start tidak mengendahkan ancaman tentera Jerman dan terus mendahului 4-1. Belum pun sempat perlawanan tamat, pegawai tertinggi tentera Jerman, General Mejar Eberhardt, meninggalkan perlawanan lebih awal dan mengarahkan pengadil menamatkan perlawanan.

Pada 17 Julai 1942, tentera Jerman kembali mencabar FC Start. Kali ini mereka datang dengan pemain yang lebih handal. Selesai perlawanan, FC Start menang 6-0.

FC Start turut menewaskan pasukan Hungary, MSG Wal, yang dijemput oleh tentera Jerman sebanyak 2 kali. FC Start menang 5-1 dan 3-2.

Menentang Flakelf yang kebal

Kemenangan demi kemenangan yang diraih FC Start mula menaikkan semangat nasionalisme 2,000 penduduk Kiev di sekitar kilang roti tersebut. Dalam 7 perlawanan yang disertai FC Start, mereka menang semua perlawanan, menjaringkan 47 gol dan hanya bolos 8 kali.

Untuk ‘mengajar’ pemain-pemain FC Start, tentera Jerman memanggil pasukan Flakelf – satu lagi pasukan tentera Jerman – yang belum pernah kalah.

Pada 6 Ogos 1942, perlawanan antara FC Start dengan Flakelf berlangsung. Sekali lagi, FC Start menang mudah 5-1.

Bermain dalam ‘Perlawanan Maut’

Kekalahan Flakelf dirahsiakan oleh media tentera Jerman. Tiada satu pun akhbar yang menceritakan perlawanan ini. Mujurlah beberapa kanak-kanak lelaki di Kiev yang menyaksikan perlawanan itu masih hidup selepas Perang Dunia Kedua untuk memberitahu keputusan sebenarnya.

Tidak berpuas hati dengan kekalahan tersebut, tentera Jerman mengarahkan perlawanan ulangan pada 3 hari kemudian.

Kali ini, tentera Jerman tampil lebih bersedia. Mereka mencetak flyers perlawanan tersebut dengan terteranya perkataan ‘dendam’.

Ada sebabnya mengapa tentera Jerman tampil lebih yakin kali ini. Pengadil perlawanan adalah pegawai Schutzstaffel atau SS.

Sebelum perlawanan, pegawai SS memberi amaran kepada pemain FC Start untuk memberi tabik hormat ‘Heil Hitler’ sebelum dan selepas perlawanan.

(Photo by RDA/Tallandier/Getty Images)

Ketika perlawanan berlangsung, ianya jelas FC Start bermain dalam perlawanan berat sebelah. Pemain-pemain Flakelf cuba mencederakan pemain-pemain FC Start dengan bentesan kasar yang tidak dihukum pengadil.

Bagaimanapun kemahiran teknikal pemain FC Start sentiasa dapat mengatasi kekasaran Flakelf. Pada separuh masa pertama, mereka mendahului 3-1. Habis 90 minit, FC Start menang 5-3.

Mengapa ia dipanggil ‘Perlawanan Maut’?

Beberapa bulan selepas kemenangan 5-3 ke atas Flakelf, penyerang FC Start, Nikolai Korotkykh, ditahan oleh Gestapo (polis tentera Nazi) ketika bekerja di kilang roti. Beliau tidak dilihat kembali semula ke kilang roti tersebut selepas mati diseksa dalam tahanan.

Pemain-pemain FC Start yang lain dihantar ke Siretz, sebuah kem kematian, 2 hari selepas tarikh kematian Korotkykh. Semua rakyat Ukraine tahu sesiapa yang dihantar ke kem ini pasti akan mati.

Makar Goncharenko dan Mikhail Sviridovsky sempat melarikan diri dari kem tersebut. Bagaimanpun, nasib mereka tidak diketahui selepas itu.

Maka disebabkan itulah perlawanan ulangan menentang Flakelf disebut-sebut sebagai ‘perlawanan maut’.

Legasi kisah ‘Perlawanan Maut’

Untuk mengenang jasa dan perjuangan lagenda-lagenda FC Start, tugu 4 pemain – Nikolai Trusevich, Alexei Klimenko, Nikolai Korotkykh dan Ivan Kuzmenko – diabadikan di pintu masuk Valeriy Lobanovskyi Dynamo Stadium, halaman Dynamo Kiev sekarang.

Kisah ini juga menginspirasikan filem Escape to Victory (1981) yang dibintangi Michael Caine, Sylvester Stallone selain pemain bola sepak Bobby Moore, Osvaldo Ardiles, Kazimierz Deyna, Paul Van Himst, Mike Summerbee, Hallvar Thoresen, Werner Roth, Pelé dan beberapa pemain Ipswich Town.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN