Laporan daripada akhbar tempatan, Berita Harian mengesahkan bekas pertahanan Queens Park Rangers (QPR), Bruno Perone dan pemain tengah dari Korea Selatan, Moon Chang-jin dikaitkan bakal menjadi pemain import Perak untuk musim depan.
Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic enggan mengulas lanjut dan masih berahsia mengenai tiga pemain import yang bakal ditandatangani oleh PAFA untuk mengharungi saingan Liga Super musim depan.
Selain 2 pemain itu, skuad The Bos Gaurus sebelum itu dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap dari Indonesia, Terens Puhiri.
Terens mendapat perhatian dunia selepas videonya yang melakukan larian pantas luar biasa sebelum meledak gol untuk kelabnya ketika menentang Mitra Kukar dalam perlawanan Liga Indonesia pada 23 Oktober lalu, tersebar di media sosial.
Presiden Borneo FC, Nabil Husein Said Amin, baru-baru ini mendedahkan kelab itu menerima banyak pertanyaan daripada pasukan luar mengenai Terens, termasuk dari Perak.
Durakovic bagaimanapun enggan mengulas mengenai minat Perak terhadap Terens untuk mengisi kuota import Asia Tenggara pasukan itu.
“Perak dikaitkan dengan banyak pemain dan saya terkejut dari mana laporan ini timbul.
“Sejujurnya, kami masih mempunyai masa untuk menyempurnakan pembentukan skuad. Saya tidak dapat mendedahkan apa-apa nama lagi kerana pemain ini masih mempunyai kontrak bersama kelab mereka.
“Jadi, tidak adil buat pemain, kelab mereka atau kami untuk mendedahkan apa-apa,” katanya kepada Berita Harian.
Terens yang juga pemain Borneo FC berusia 21 tahun bakal menjadi pemain ketiga dari Indonesia yang berhijrah ke Liga Malaysia selepas Selangor mengikat Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn.
Durakovic turut mengesahkan Perak sedang berunding dengan pemain pertahanan kebangsaan, Shahrom Kalam selepas kontraknya tamat bulan lalu.
“Kami masih berunding dengan Shahrom dan akan melihat bagaimana perkembangannya,” kata Durakovic.
“Kepentingan utama saya adalah mencari pemain muda daripada pasukan junior kami untuk diserap ke skuad senior.” Katanya.