Malaysia Perlu Galakkan Pemain Bukan Pro Dapatkan Lesen & Jadi Jurulatih Bola Sepak

Jurulatih bola sepak adalah karier idaman bagi peminat bola sepak. Tetapi bagi sebuah negara yang menjadikan bola sepak sebagai sukan nombor satu kebangsaan, kita sebenarnya mengalami masalah kekurangan jurulatih berlesen yang agak kronik.

Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) melaporkan pada tahun 2013, negara kita hanya mempunyai 387 orang jurulatih berdaftar. NFDP juga menyasarkan pada tahun 2020 nanti, Malaysia sudah melahirkan 2,472 jurulatih berlesen.

Dengan menggunakan kiraan matematik mudah, Malaysia sepatutnya melahirkan 298 jurulatih berlesen baru setiap tahun. Pada tahun 2017, Malaysia sepatutnya sudah mempunyai 1,579 jurulatih berlesen.

Dan pada awal Januari 2016, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan memberitahu Berita Harian bahawa jumlah ahli berdaftar dalam persatuannya hanyalah ‘hampir 300’.

“Setakat ini kira-kira 300 ahli kami yang berdaftar. Jika jumlah itu boleh mencecah sehingga lebih 400 orang kerana tidak semua daripada mereka aktif dan mengikut program PJBM.”

Jumlah ini sebenarnya merisaukan.

Bagi sebuah negara yang berpopulasi 30 juta, kita melahirkan terlalu sedikit jurulatih berlesen.

Penyelesaian isu

Apa penyelesaian isu ini? Saya melihat satu sahaja: pemain bukan pro (amatur) perlu digalakkan untuk mendapatkan lesen jurulatih bola sepak.

Apabila Semuanya BOLA menwar-warkan kursus kejurulatihan sijil awalan semalam, rata-rata pembaca berminat. Tetapi mempunyai perasaan takut-takut.

Kalau usia muda boleh join ke? Bukan pemain pro boleh join ke?

Tak dinafikan masih wujud lagi stigma di kalangan pemain dan jurulatih berpengalaman (bekas pemain terutamanya) bahawa – untuk menjadi jurulatih di peringkat tertinggi, anda perlu bermain di peringkat tertinggi.

Dalam erti kata lain; jika anda mahu menjadi ketua jurulatih pasukan Liga Super (contohnya), anda perlu bermain dalam Liga Super.

Tak perlu jadi kuda untuk jadi jockey yang bagus

Saya tak menafikan. Pengalaman bermain di peringkat tertinggi merupakan pra-syarat yang diperlukan untuk melatih pasukan di peringkat tertinggi.

Siapalah yang tak mahu pengalaman bermain di bawah kendalian Dollah Salleh dan belajar daripadanya?

Pengalaman Dollah bermain di bawah tunjuk ajar lagenda seperti M. Chandran, Len Ashurst dan Dr. Jozef Vengloš sahaja sudah meletakkannya di depan jurulatih biasa yang tiada pengalaman.

Tetapi kita perlu ingat.

Menjadi pakar dalam satu disiplin dalam satu bidang tak menjadikan kita pakar dalam disiplin lain dalam bidang yang sama.

Contohnya; anda mungkin sorang penjual kereta yang bagus. Tetapi untuk mengurus sebuah kedai kedai menjual kereta, anda memerlukan skil yang berbeza. Skil yang tiada kena-mengena dengan menjual kereta.

Dalam situasi ini saya cenderung untuk mengulang kata-kata pengurus lagenda AC Milan, Arrigo Sacchi yang berkata: “Saya tak tahu pun untuk menjadi penunggang kuda (jockey) yang bagus, anda perlu jadi kuda.”

Untuk menjadi saintis biologi, anda tak semestinya kena belajar di aliran sains semasa sekolah menengah. Apa yang anda perlukan adalah dedikasi terhadap ilmu biologi pada jangka masa yang tertentu.

Untuk menjadi peguam yang bagus, perlukah kita disaman di mahkamah dahulu? Untuk menjadi pakar bedah otak, perlukan kita mempunyai tumor di otak dahulu?

Bekas pemain pro: hanya jauhari mengenal manikam

Bagi sesetengah jurulatih bola sepak yang bermula sebagai pemain profesional, mereka mungkin mempunyai persepsi jurulatih yang bermula sebagai pemain amatur tidak mampu mengajar sebaik mereka.

Perkara ini diakui sendiri oleh Shazwan Wong, pengarah urusan Little League Soccer Malaysia ketika saya menemuramah beliau.

“Selepas balik dari China pada tahun 2009, bos saya menawarkan kerja sebagai ketua jurulatih Mount Kiara FC. Beliau tahu saya ada pengalaman menjadi jurulatih ketika di Shanghai. Tetapi saya tiada lesen jurulatih.”

“Kemudian ada seorang bekas pemain pro yang mempersoalkan kredibiliti saya. Dia tanya siapa saya, dulu main mana, ada lesen apa.”

Bekas pemain pro tersebut turut memberitahu beliau ‘hanya bekas pemain pro yang boleh menjadi jurulatih bola sepak’.

“Saya tak pedulikan kata-kata beliau. Saya teruskan kerja saya. Dan saya terus belajar.”

Bagi jurulatih yang bermula sebagai pemain pro, mereka mempertahankan ‘hanya jauhari mengenal manikam’. Malah kita sebagai peminat pun mempunyai pemikiran: hanya pemain pro yang mengenali pemain pro.

Tetapi percaya atau tidak, selalunya perkara sebaliknya pula yang berlaku!

Berapa kali kita mendengar ketua jurulatih pasukan Liga Super memberi komen sebegini kepada media selepas kekalahan pasukannya?

“Saya pun tak tahulah apa silapnya permainan kami hari ini”
“Saya pun tak sangka benda ini boleh berlaku kepada pemain saya”

Ketika ditanya oleh media tentang rahsia kejayaannya sebagai pengurus di Monaco, Nagoya Grampus Eight dan Arsenal, Arsene Wenger tidak mengaitkannya dengan kariernya sebagai pemain profesional di Strasbourg. Ataupun karier kejurulatihannya ketika muda di Perancis.

Sebaliknya beliau mengaitkan kejayaannya dengan pengalaman bekerja di pub milik ayahnya.

“Tiada pendidikan psikologi yang terbaik selain membesar di pub, kerana bila anda berumur 5-6 tahun, anda akan jumpa bermacam-macam orang. Dari kecil lagi saya dapat pendidikan praktikal tentang bagaimana nak memahami minda orang.”

Jose Mourinho pula mendedahkan kesukarannya untuk mengubah tanggapan pemain bahawa beliau bukan sekadar penterjemah bagi Bobby Robson.

“Bila anda melatih pemain profesional, anda belajar tentang hubungan manusia. Pemain pro tak menelan bulat-bulat apa yang anda ajar. Kerana kata-kata anda tiada autoriti. Kita perlu tunjukkan kepada mereka bahawa kita betul.”

Kelebihan Jose Mourinho adalah beliau mampu menterjemahkan teori dalam kepalanya kepada drill latihan yang unik dan sesuai untuk pemain-pemainnya. Sehebat kebolehannya menterjemah bahasa Portugis, Catalan, Sepanyol, English, Itali dan Perancis.

Paling penting, drill latihan Mourinho menghasilkan persembahan yang hebat untuk pasukannya!

Jurulatih ex-pro dan jurulatih bukan ex-pro perlu sama-sama wujud

Pada pendapat saya, jurulatih ex-pro memerlukan jurulatih bukan ex-pro sebagaimana jurulatih bukan ex-pro memerlukan jurulatih ex-pro untuk memperbaiki skil masing-masing.

Jurulatih ex-pro mempunyai pengalaman yang mahal. Tetapi sesetengah daripada mereka mungkin kurang dedikasi untuk berevolusi atau menerima idea-idea baru.

Ini kerana, mengapa nak belajar benda baru kalau pengalaman dan ilmu ‘tok gurunya’ sudah cukup bagus untuk dirinya?

Sesetengah jurulatih bukan ex-pro pula tidak mempunyai pengalaman semahal jurulatih ex-pro. Tetapi dedikasi mereka untuk berevolusi dan menerima idea-idea baru lebih tinggi.

Ini kerana, apa lagi pilihan yang mereka ada untuk menjadi jurulatih yang bagus?

Saya berpendapat, kedua-dua ‘spesis’ jurulatih ini perlu saling menyokong dan membantu antara satu sama lain demi masa depan bola sepak Malaysia.

Bagi pemain amatur yang mempunyai inferiority complex untuk menyertai kursus kejurulatihan, saya seru supaya anda atasi perasaan rendah diri anda dengan kerja keras!

Sumber gambar depan: PFA Malaysia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN