Pemain Bolton Wanderers melancarkan mogok selama 48 jam selepas kakitangan (bukan pemain) tidak menerima bayaran gaji pada masa yang sepatutnya untuk bulan kedua berturut-turut.
BBC Radio Manchester yang turut mendedahkan pemain turut tidak menerima bayaran gaji masing-masing, mengambil langkah berkenaan sebagai sokongan kepada kakitangan kelab yang terlibat.
Gaji Februari
Gaji bulan Februari dibayar lambat berikutan tidak ketentuan spekulasi pengambilalihan pemilikian kelab yang sedang bergelut di saingan Championship itu.
Kakitangan kelab diberitahu pemilik baharu akan memastikan semua bayaran gaji sepatutnya akan dijelaskan pada Jumaat lalu- sekiranya proses pengambilalihan telah diselesaikan.
Pengurus Bolton, Phil Parkinson turut mengharapkan berita positif mengenai pengambilalihan tersebut dengan pengerusi kelab pada Rabu lalu yakin proses tersebut akan selesai di dalam tempoh 48 jam.
Sehingga artikel ini ditulis, tiada sebarang khabar mengenai perjanjian berjaya dicapai antara pemilik baru dan pengurusan sedia ada Bolton Wanderers – mendorong keseluruhan skuad melakukan mogok dari menjalani latihan selama 48 jam.
Apa nasib Bolton?
Bekas pemilik Watford, Laurence Bassini dikatakan sebagai individu yang sedang berbincang dengan Anderson mengenai pengambilalihan kelab tersebut.
Bolton juga akan tampil di Mahkamah Tinggi pada Rabu berkenaan cukai tertunggak dan hutang-hutang lain berjumlah £1.2 juta.
Kelab tersebut diberikan tempoh dua minggu pada 20 Mac lalu ntu menyelesaikan hutang tersebut atau berhadapan risiko untuk diambil alih secara pengurusan (administration) – situasi dimana kelab tidak mempunyai kuasa di dalam pentadbiran dan kuasa kewangan – sehingga semua hutang diselesaikan.
Bolton merekodkan kemenangan 2-1 ke atas QPR pada Sabtu lalu. Namun ia belum cukup untuk mereka keluar dari zon penyingkiran, dengan perbezaan lima mata dari zon selamat untuk kekal di Championship.
Untuk itu, pasukan yang pernah mengegarkan Liga Perdana Inggeris di era Sam Allardyce satu ketika dahulu ini perlu beraksi dengan baik pada baki tujuh perlawanan yang akan datang.