Masih lagi kisah pemain Bayern Munich dan Ancelotti. Terbaru laman Kicker di Jerman melaporkan ada beberapa pemain Bayern Munich mengadakan latihan rahsia tanpa pengetahuan Ancelotti.
Bild sebelum ini melaporkan 5 pemain yang menentang Ancelotti iaitu Arjen Robben, Franck Ribery, Mats Hummels, Jerome Boateng dan Thomas Muller.
Manuel Neur, Muller dan Boateng dilaporkan telah bertemu dengan Karl Heinz Rummenigge dan meluahkan kekesalan ramai bintang mereka terhadap Ancelotti.
Mereka dilaporkan tidak selesa dengan corak latihan Ancelotti yang terlalu santai dan tidak intensif berbanding dengan corak latihan di bawah Pep Guardiola sebelum ini.
Jurulatih kecergasan Ancelotti, Giovanni Mauri juga dilaporkan hanya mengadakan 3 minit sesi pemanas badan dan kadangkala merokok di pusat latihan.
Beberapa pemain cuba melakukan latihan tambahan mereka sendiri namun ianya dilarang oleh Ancelotti.
Ancelotti juga dilaporkan gagal memberikan arahan taktikal yang lebih baik untuk separuh masa kedua ketika menentang Wolfsburg, dan gagal memberikan arahan taktikal ketika menentang PSG.
Mereka telah mengadakan latihan sendiri secara rahsia yang berintensiti tinggi. Sebelum ini, Robben menyatakan yang latihan bola sepak di sekolah anaknya lebih bagus daripada latihan Ancelotti. Dan beliau lebih rela berlatih di sana.
Joshua Kimmich dan Kingsley Coman juga dilaporkan mahu pergi ke kelab lain sekiranya Ancelotti terus kekal di Bayern.
Musim lalu, Xabi Alonso dan Phillip Lahm dilaporkan tidak berpuas hati dengan metodologi latihan Ancelotti meskipun mendahuli 15 mata di puncak liga.
Ancelotti baru-baru ini ditanya wartawan tentang situasi tersebut dan beliau menyatakan adalah lebih baik beliau berdiam diri buat masa ini.