Pemain-pemain Barcelona dikatakan menolak cadangan awal pemotongan gaji dalam usaha pihak kelab menangani impak ekonomi disebabkan penularan wabak coronavirus.
Sumber kepada ESPN berkata kapten pasukan, Lionel Messi masih meneruskan perbincangan dengan ahli lembaga pengarah kelab.
Sumber tersebut menjelaskan pemain sebenarnya tidak kisah pemotongan gaji dilakukan namun kurang gembira dengan terma yang dicadangkan oleh pihak kelab setakat ini.
Tetapi terdapat percanggahan pendapat di kalangan pemain dan ahli lembaga pengarah kelab yang menyebabkan perbincangan turut menjadi sukar.
Namun demikian semua pihak dikatakan optimis persetujuan mampu dicapai.
ESPN sebelum ini mendedahkan Barcelona berharap boleh melakukan pemotongan gaji secara sementara terhadap pemain mereka pada Jumaat lalu setelah panggilan video diadakan di kalangan ahli lembaga pengarah kelab.
Ia bukan sahaja pasukan bola sepak melibatkan skuad utama sahaja yang akan terkesan, tetapi turut melibatkan semua pemain profesional dari cabang sukan lain termasuk skuad wanita, dan bola keranjang.
Namun tumpuan khusus diberikan kepada skuad utama Barcelona kerana perbelanjaan mereka melibatkan separuh dari bajet tahunan kelab.
Untuk rekod, Barcelona membayar €500 juta setahun untuk gaji skuad utama bola sepak mereka.
Tidak seperti kelab lain di La Liga, Barcelona dimiliki melalui keahlian dan tidak mempunyai kemewahan pelaburan luar lain.
Krisis coronavirus dibimbangi membawa impak serius terhadap pendapatan kelab itu secara keseluruhan.