Pemain remaja sensasi Borussia Dortmund, Youssoufa Moukoko mendapat peluang untuk melonjakkan lagi kualiti yang dimilikinya apabila disenaraikan oleh kelab gergasi Jerman itu bagi menghadapi kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21.
Moukoko, 15 tahun, tidak termasuk dalam skuad awal Dortmund ke saingan tersebut kerana faktor usia, tetapi akan dimasukkan dalam senarai ‘B’ di mana ia dikhaskan kepada pemain muda dan bakat ‘homeground’ apabila usianya mencecah 16 tahun pada 20 Novemer nanti.
Moukoko nyata mencuri tumpuan pemerhati serta peminat bola sepak susulan keupayaannya menjaringkan 134 gol dalam 86 penampilan bersama Borussia Dortmund di peringkat umur bawah 17 dan 19.
Sekiranya diberikan peluang beraksi oleh Lucien Favre dalam perlawanan bertemu Club Brugge hanya berselang sehari ulang tahun kelahirannya, Moukoko bakal menjadi pemain termuda yang beraksi dalam sejarah kempen tersebut.
Sekali gus ia memadamkan rekod yang pada ketika ini masih dipegang pemain pertahanan, Celestine Babayaro ketika menyarung jersi Anderlecht bertemu Steaua Bucharest pada usia 16 tahun 87 hari pada 1994.
Perkembangan terbaharu berkenaan pendaftaran melibatkan pemain remaja itu telah disahkan oleh Pengarah Sukan Borussia Dortmund, Micheal Zorc, menurut sumber laman sesawang rasmi Bundesliga.
”Ya, ianya memang benar. Kami akan mendaftarkan Youssoufa untuk saingan Liga Juara-Juara Eropah menerusi senarai ‘B’.”
Walaupun merupakan anak kelahiran Younde, Cameroon, Youssoufa Moukoko yang menyertai Borussia Dortmund dari St Pauli telah beraksi di peringkat umur 16 dan 20 tahun bersama skuad kebangsaan Jerman.
Selain itu, pindaan yang dilakukan Bundesliga pada 2 April lalu berhubung had umur minimum bagi seseorang pemain untuk beraksi dalam liga tersebut dari 17 tahun ke 16 tahun juga telah memberikan ruang kepada Moukoko untuk mendapat peluang terbaik itu.
Kredit featured image: Max Maiwald/DeFodi Images via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Borussia Dortmund: