George Best: Nostalgia Pahit Dan Kehebatan Abadi Seorang Genius Bola Sepak

“Maradona good, Pele better, George Best.” Itulah caranya bagaimana bola sepak cuba mengilustrasikan kehebatan salah seorang pemain terbaik dunia sepanjang zaman.

Bakatnya di dalam bola sepak disertai dengan kepantasan dan kelincahan, naluri seorang penjaring semulajadi persis spesis pemangsa yang menerkam mangsanya yang lalai, dan kemahiran menggelecek yang dimilikinya pasti membuatkan sesiapa sahaja tergamam melihat aksi beliau.

(Photo by Peter Robinson/EMPICS via Getty Images)

George Best adalah salah seorang pemain bola sepak di dunia mempunyai bakat semulajadi yang luar biasa sepanjang zaman. Bersama-sama dengan Bobby Charlton dan juga Denis Law, Best membentuk gandingan ‘The Holy Trinity’ bersama Manchester united.

Antara trio serangan terawal yang menggerunkan dunia tatkala kebanyakkan pasukan pada era itu gemar menggunakan gandingan 2 penyerang, ‘The Holy Trinity’ membantu Manchester United untuk memenangi trofi pertama kelab berkenaan di peringkat eropah.

Kehebatan George Best di atas padang sering dibayangi dengan gaya hidupnya yang bersifat hedonistik- mencari kebahagiaan melalui gaya hidup berfoya-foya demi kepuasan diri.

Alkohol adalah masalah utama Best dan punca kepada masalah kesihatan dan penurunan stamina di atas padang.

(Photo by Christopher Furlong/Getty

George Best dipilih sebagai Pemain Terbaik Eropah pada tahun 1968 dan merupakan pemain ke-16 terbaik sepanjang zaman di dalam senarai IFFHS pada 1999.

Di sebalik segala kontroversi di dalam profesion beliau, George Best disenangi oleh kawan dan lawan di atas padang dan disifatkan oleh Pelé sebagai pemain terbaik dunia.

Bob Bishop: “Ku temukan seorang genius!”

Bakat yang ada pada George Best sejak usia muda membuatkan ianya tidak sukar dikesan oleh pencari bakat. Pada usia beliau 15 tahun, seorang pencari bakat daripada Manchester United, Bob Bishop menghantar satu telegram kepada pengurus kelab tersebut ketika itu, Matt Busby.

Mesejnya ringkas: “Saya berpendapat bahawa saya telah menemukan seorang genius untuk anda.”

Best menandatangani kontrak bersama Manchester United pada 1961, dan menghabiskan 2 musim di dalam skuad kedua (pasukan remaja) sebelum melakukan debut bersama pasukan utama pada 1963 pada usia 17 tahun.

(Photo by Bob Thomas/Getty Images)

Menjelang 1965, George Best sudah pun menjadi watak penting dalam pasukan Red Devils, membantu pasukan Manchester tersebut memenangi kejuaraan Divisyen 1 Liga Inggeris daripada Leeds United.

Pada ketika itu pertahanan lawan sering bermain secara agresif untuk menghalang gerakan dan kebolehan teknikal tinggi yang dimiliki oleh Best.

Untuk membantu Best berhadapan dengan corak permainan agresif pertahanan lawan, Matt Busby menyediakan sesi latihan khas, bercorak latihan lasak semata-mata untuk membiasakan Best dengan corak permainan lawan.

El- Beatle

Pada tahun 1966, nama George Best semakin popular selepas 2 gol jaringannya di peringkat suku akhir Piala Eropah. Best mendapat liputan luar biasa oleh media Portugal yang kagum dengan bakat yang dimiliki oleh pemain itu dan memberikan nama jolokan ‘El-Beatle’ kerana kepopularan Best.

(Photo by Barratts/PA Images via Getty Images)

Musim berikutnya, gandingan ‘The Holy Trinity’ dan Manchester United sekali lagi menjulang kejuaraan Divisyen 1 Liga Inggeris. Pada 1968, Best dan rakan sepasukannya di Manchester United menewaskan Benfica di perlawanan akhir Piala Eropah.

Kejuaraan tersebut menjadikan Manchester United sebagai pasukan pertama dari England yang bergelar juara Eropah- 10 tahun selepas tragedi udara yang menimpa Busby Babes.

(Photo by Popperfoto/Getty Images)

Kehebatan George Best pada era itu boleh disamakan dengan apa yang Cristiano Ronaldo mahu pun Lionel Messi lalui pada hari ini. Kejayaan di peringkat Eropah pada 1968 itu menjadikan George Best sebagai Pemain Terbaik Tahunan Eropah (Ballon d’Or), pada usia hanya 22 tahun.

Pada usia 22 tahun, Best bukanlah pemuda yang malu seperti ketika beliau melakukan penampilan pertama bersama United pada usia 17 tahun.

Selebriti bola sepak terawal

Gaya hidupnya mulai berubah. Berambut panjang seperti seorang penyanyi pop terkenal, Best adalah antara pemain bola sepak pertama di dunia yang bergelar selebriti. Ini menjadikan Best sebagai sasaran bahan berita tabloid di seluruh British.

Best gemarkan kehidupan yang menonjol, sering berparti sehingga lewat malam dan mengamalkan pengambilan alkohol yang berlebihan. Perlahan-lahan, semua ini mulai menjejaskan karier Best.

(Photo by Bob Thomas/Getty Images)

6 musim berikutnya George Best bersama Manchester United, kelab berkenaan mulai mengalami kemerosotan. Best dan Manchester United gagal memenangi walaupun satu trofi dalam tempoh itu.

Perkara ini disukarkan lagi dengan pengambilan pemain baharu yang gagal menghasilkan prestasi seperti yang diharapkan.

Kesungguhan Best di United semakin pudar. Akhirnya Best meninggalkan Old Trafford pada 1974 selepas 470 penampilan dan menjaringkan 179 gol untuk Manchester United dalam semua pertandingan.

Pasca Manchester United & persaraan

Selepas Manchester United, Best berusaha untuk memperbaiki karier bola sepaknya yang jelas merudum. Best menyertai kalab-kelab kecil di serata Scotland, Australia, Amerika Syarikat sehinggalah ke Afrika Selatan untuk satu dekad berikutnya.

George Best tidak akan kekal lebih daripada 2 musim untuk setiap kelab yang disertainya. Kebanyakan tempoh Best bersama kelab-kelab di negara tersebut akan dibayangi dengan insiden-insiden yang tidak diingini.

Photo by Express Newspapers/Getty Images)

Sebagai contoh, ketika mewakili Hibernian, Best telah ditangkap minum minuman beralkohol dengan seluruh pasukan ragbi kebangsaan Perancis.

Akhirnya Best mengambil keputusan untuk bersara dari bola sepak pada 1983, genap 20 tahun ketika kali pertama menandatangani kontrak sebagai pemain profesional bersama Manchester United.

Di peringkat antarabangsa, Best mewakili negaranya sebanyak 37 kali dan menjaringkan 9 gol untuk Ireland Utara. Sehingga ke hari ini, George Best masih disifatkan sebagai pemain terhebat yang pernah dilahirkan oleh Ireland Utara.

George Best dalam kenangan

Kesihatan Best mulai terkesan kerana pengambilan alkohol tidak terkawal sejak zaman mudanya. Namun demikian, Best sentiasa mencipta kontroversi kemana jua beliau pergi.

George Best meninggal dunia pada 2005 pada usia 59 tahun selepas kegagalan beberapa organ dalamannya untuk berfungsi.

(Photo by Ben Radford/Getty Images)

Bagi kebanyakan peminat, karier yang dilalui Best adalah satu amaran buat pemain profesional yang lain akan bahaya alkohol. Jika beliau masih hidup, Best pasti akan berdebat kepada sesiapa sahaja yang mengandaikannya sebegitu.

Seperti yang pernah beliau katakan satu masa dahulu: “Saya telah menghabiskan banyak duit untuk alkohol, wanita dan kereta ‘sport’. Selebihnya saya habiskan begitu sahaja. “

Inilah kisah George Best. Pemain yang legenda bola sepak  Pelé  gelarkan sebagai pemain terbaik dunia, digelar Bob Bishop sebagai genius, dan pemain bola sepak terawal berstatuskan selebriti, namun seorang yang gagal mengawal dirinya sehingga binasa.

(Photo by Julien Behal – PA Images/PA Images via Getty Images)

Anda boleh nyatakan siapa sahaja pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman. Namun jika anda dilahirkan pada era El-Beatle dan seperti Pelé yang pernah menyaksikan aksi George Best, maka anda pasti akan bersetuju nama George Best adalah antara pemain terbaik yang pernah disaksikan oleh bola sepak dunia.

“Apabila saya sudah tiada, orang akan lupakan segala sampah yang pernah saya lakukan. Dan apa yang diabadikan hanyalah bola sepak yang pernah saya mainkan” – George Best

 

Sumber:

1. George Best; https://en.wikipedia.org/wiki/George_Best 

2. Jock Bio: George Best The Fitfh Beattle; http://www.jockbio.com/Classic/Best/Best_bio.html

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN