‘Pelukan Terakhir’ – Forestieri Pilih Rai Jaringan Bersama Rodriguez Di Bangku Penyokong JDT

Fernando Forestieri Fernando Rodriguez JDT 2022 pelukan terakhir

Mungkin ini perlawanan terakhir disaksikan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Rodriguez di bumi Malaysia apabila rakan sepasukannya, Fernando Forestieri dirakam lensa kamera meraikan gol bersamanya.

Ia berlaku pada minit ke-24 apabila Forestieri melepaskan rembatan padu menewaskan penjaga gol Penang FC, Hafizul Hakim untuk jaringan kedua JDT dalam aksi separuh akhir Piala FA 2022 yang menyaksikan mereka berkenduri gol ke atas lawan. JDT menang 6-1 dan mara ke pentas akhir buat kali pertama sejak edisi 2016.

Rodriguez sah diumumkan rekrut terbaharu kelab Liga 1 Indonesia, Persis Solo di penutup jendela perpindahan.

Tinggalkan bumi Malaysia selepas empat musim

Ini menandakan berakhirnya karier empat musim Fernando Rodriguez di Malaysia. Beliau mula beraksi di Liga Malaysia (Liga M) bersama Kedah Darul Aman pada musim 2019 sebelum menyertai JDT, tahun berikutnya.

Di JDT, beliau lebih banyak melayari kariernya bersama skuad simpanan, JDT II di Liga Premier – selama tiga musim. Adakalanya beliau akan diserap masuk ke skuad utama apabila kudratnya diperlukan oleh pasukan.

Di saingan Liga Premier musim ini, beliau adalah pendahulu carta penjaring terbanyak dengan lapan gol. Musim lalu, dengan 16 gol, beliau merupakan penjaring terbanyak liga itu bersama penyerang TFC II, Jordan Mintah.

Kontroversi terbesarnya di Liga M tentunya saat perlawanan final Piala Malaysia antara Kedah dan JDT yang menyaksikan beliau tidak turun beraksi waima tampil cemerlang sepanjang perjalanan mereka ke pentas akhir dengan meledak tujuh gol. Gandingannya bersama Jonathan Bauman dilihat semakin serasi dan berbahaya.

5 Perkara Final Piala Malaysia 2019: Kedah ‘Hilang’ Dalam Ramai, JDT Raih ‘Domestic Double’

Natijahnya, Kedah yang tempang tanpa Rodriguez yang hanya berada di bangku simpanan dan tanpa beberapa pemain lain, tumpas 0-3 kepada JDT untuk Harimau Selatan meraih kejuaraan Piala Malaysia 2019. Apa yang mengejutkan, pada Januari 2020, beliau diumumkan sebagai pemain baharu JDT selepas tinggalkan Kedah.

Peluang buatnya membuktikan kemampuannya

Menyertai Persis Solo yang dikhabarkan melalui masalah ketajaman jentera serangan dilihat wadah sesuai buatnya untuk mempamerkan kemampuannya sebagai penyerang berkaliber – bukan hanya di liga kedua.

Bersama Kedah sebelum menyertai JDT, Rodriguez mempamerkan kemampuannya berganding baik bersama Bauman di jentera depan Kedah. Kedua-dua mereka meledak lebih 30 gol buat Kedah dalam tempoh semusim. Walaupun mula mempamerkan gandingan ampuh, mereka dilepaskan Sang Kenari pada penghujung musim.

Di JDT, beliau membuktikan Liga Premier sangat mudah buatnya apabila meledak 31 gol selepas beraksi selama dua musim setengah. Jadi, peluang bermain di liga utama Indonesia adalah pentas terbaik buatnya.

Tanpa sebarang mata dalam dua aksi awal liga, Persis Solo menghuni tangga tercorot dan menambah baik jentera serangan mereka dengan kemasukkan Rodriguez sebelum jendela perpindahan ditutup. Beliau tidak asing di bumi Indonesia kerana pernah beraksi bersama Mitra Kukar pada musim 2018 dan meledak 15 gol.

Forestieri pilih untuk raikan gol bersama Rodriguez

Nama pangkal kedua-dua pemain ini sama iaitu Fernando. Malah mereka tentunya rapat disebabkan darah Latin yang mengalir dalam tubuh mereka. Fernando Rodriguez tampak berada di bangku penyokong ketika JDT melayan kunjungan Penang untuk aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

JDT mendahului babak pertama dengan kedudukan dua gol tanpa balas hasil jaringan duo penyerang sensasi, Bergson da Silva dan Forestieri dalam setengah jam pertama aksi. Dan cara Forestieri meraikan golnya menjadi perhatian apabila dilihat berlari ke arah tempat duduk penyokong di mana kelihatan Rodriguez sedang berada.

Mereka dilihat meraikan gol penuh keterujaan dan Forestieri juga seperti memberi signal menunjukkan Rodriguez kepada penyokong JDT, mungkin mahukan penyokong memberi penghargaan buat pemain itu.

Malah selepas perlawanan, Forestieri telah membuat ciapan penghargaan buat Rodriguez di Twitternya. “Satu penghargaan dapat berkongsi padang bersama anda. Terima kasih atas sumbangan anda kepada kelab selama ini. Kami akan rindukan anda sebagai pemain dan insan yang luar biasa,” titip Forestieri mengenai Rodriguez.

Baki empat gol lagi adalah hasil ledakan hatrik oleh Arif Aiman Hanapi dan jaringan di penghujung aksi oleh Syahmi Safari. Gol saguhati Penang pula dihasilkan oleh penyerang, Lucas Silva sebaik babak kedua bermula.

Leave a Reply