Peluang untuk pertahanan muda Indonesia iaitu Elkan Baggott mencipta penampilan sulung dalam saingan English Premier League (EPL) semakin kelam kerana ada kemungkinan dirinya akan terus dipinjamkan ke kelab lain.
Baggott merupakan pemain pertahanan muda buat Ipswich Town yang sebelum itu berjaya melayakkan diri ke pentas EPL selepas tampil cemerlang dalam saingan Championship iaitu divisyen kedua di England.
Walaupun begitu, Baggott lebih banyak menghabiskan masa beliau bersama Bristol Rovers di pentas EFL League One musim lalu dengan status pinjaman berbanding Ipswich Town.
Malah musim lalu Baggott hanya diberi peluang beraksi sebanyak empat kali sahaja oleh Ipswich Town untuk memperkukuhkan jentera pertahanan sebelum dipinjamkan kepada Bristol Rovers.
Di pentas EFL League One, Baggott telah mencipta 14 penampilan secara keseluruhan serta berjaya menghasilkan satu jaringan buat Bristol Rovers.
Untuk persaingan musim hadapan, teka teki masih timbul jika pertahanan kental Indonesia itu mampu dikekalkan atau bakal berhijrah ke pasukan lain dengan status pinjaman.
Sejak Baggott menandatangani kontrak pada tahun 2021 bersama Ipswich Town, beliau lebih banyak dipinjamkan ke kelab-kelab divisyen lebih rendah dalam tujuan untuk mendapatkan minit permainan mencukupi.
Dalam tempoh tiga tahun, pertahanan muda Sang Garuda ini sudah dipinjamkan sebanyak empat kali untuk mewakili kelab berbeza dengan prestasi tersendiri.
Menurut pengendali Ipswich Town iaitu Kieran McKenna, beliau memberi bayangan pemain muda itu berkemungkinan akan terus dipinjamkan demi meraih pengalaman sebanyak diperlukan.
“Kami sedang mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut. Saya akan mengadakan perjumpaan bersama Baggott pada awal minggu hadapan.
“Jadi saya tak akan banyak bercakap mengenai isu tersebut kerana saya lebih suka untuk berbincang dengan pemain terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
“Sejujurnya, kami sangat menyukai Baggott kerana beliau mampu memberi sumbangan cukup besar buat kelab. Tetapi, untuk pemain muda penting untuk dirinya mendapat lebih banyak minit permainan.
“Dia mendapat beberapa peluang pada musim lalu, tetapi di untuk kemudiannya beliau tidak mendapat seperti apa kami inginkan.
“Jadi ada kemungkinan besar Baggott akan dipinjamkan musim ini untuk menambah lebih banyak kualiti dalam permainan serta meningkatkan lagi kualiti diperlukan,” ulas McKenna menerusi Bola.com.