Pelesenan Kelab: 10 Pasukan Liga Perdana Lengkapkan Permohonan

Akhbar tempatan, Berita Harian melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam telah mengesahkan sebanyak 10 pasukan yang bertanding dalam Liga Perdana musim ini berjaya melengkapkan permohonan untuk mendapatkan pelesenan kelab meskipun ia hanya akan dikuatkuasakan bermula musim 2019.

Kevin turut memuji langkah proaktif yang diambil oleh pasukan Liga Perdana itu sebagai satu petanda yang positif kepada pengurusan pasukan yang lebih profesional.

Selain 10 pasukan Liga Perdana yang melengkapkan permohonan itu, turut mengikut jejak langkah itu ialah 2 pendahulu liga, Kuala Lumpur dan Terengganu.

“Selain Kuala Lumpur dan Terengganu yang mengemukakan permohonan untuk beraksi di Liga Super 2018, kita turut menerima permohonan daripada 10 pasukan Liga Perdana yang lain, namun tahap penyelesaian dokumen mereka berada di peringkat yang berbeza antara satu sama lain.

“Langkah ini menunjukkan mereka mengambil kesedaran terhadap penguatkuasaan yang akan mula dilaksanakan pada musim 2019. Jadi ini menunjukkan mereka sudah benar-benar bersedia ke arah menjadi pasukan yang lebih profesional.

“Sudah pasti kami menggalakkan apa yang mereka lakukan ini kerana mereka begitu serius untuk melengkapkan permohonan masing-masing. Saya harapkan segalanya dapat dilengkapkan dan tiada isu yang timbul ketika penilaian dibuat nanti,” katanya kepada Berita Harian.

Badan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuat penilaian dan keputusan sama ada pasukan itu layak untuk bertanding dalam Liga Super atau Liga Perdana. Mereka perlu mematuhi 6 kriteria pelesenan kelab.

Ada 6 kriteria pelesenan kelab yang perlu dipatuhi:

  • Kriteria kesukanan
  • Kriteria infrastruktur
  • Kriteria pentadbiran
  • Kriteria undang-undang
  • Kriteria kewangan
  • Kriteria perniagaan

FMLLP telah mewajibkan semua pasukan yang beraksi di Liga Super perlu mendapatkan lesen sebagai sebuah kelab musim ini, manakala pasukan di Liga Perdana mempunyai tempoh sehingga Oktober 2018 bagi memenuhi pelesenan kelab sepenuhnya menjelang musim 2019.

Dari segi analogi, pelesenan kelab adalah seperti pensijilan ISO kepada sesebuah organisasi. Ia adalah petunjuk organisasi tersebut mengamalkan amalan terbaik (best practices) mengikut panduan ISO.

Seperti syarikat swasta yang menggunakan ISO untuk meyakinkan klien bahawa mereka adalah syarikat yang bagus, kelab bola sepak boleh menggunakan lesen kelab untuk meyakinkan penaja mereka.

Berbeza dengan pemahaman ramai penyokong bola sepak Malaysia, syarat pelesenan kelab yang dikeluarkan oleh FAM sebenarnya diasaskan oleh syarat pelesenan kelab yang dikeluarkan oleh AFC.

Ini bermakna jika kelab anda mematuhi syarat pelesenan kelab yang dikeluarkan oleh FAM, kelab anda juga sebenarnya telah mematuhi syarat pelesenan kelab yang dikeluarkan oleh AFC.

Malah ada sesetengah syarat pelesenan FAM jauh lebih ketat berbanding yang ditetapkan oleh AFC.

Kegagalan pasukan liga super mendapatkan lesen kelab menyaksikan mereka tidak boleh beraksi dalam saingan Liga Super dan juga kejohanan AFC serta mana-mana pasukan liga perdana yang tidak mempunyai lesen menjelang tahun 2019 tidak akan dibenarkan bersaing dalam Liga Perdana pada musim terbabit.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN