Situasi di Melaka United mencuri tumpuan ramai pada minggu ini. Antaranya ialah melibatkan tunggakan gaji pemain seperti yang didedahkan oleh kapten pasukan, Shukor Adan.
Masalah pembayaran gaji pemain turut melibatkan pasukan Piala Belia yang juga berada di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (MUSA).
Perkara itu mengundang kritikan daripada peminat setia yang sayangkan pasukan negeri itu terhadap pengurusan sedia ada.
Apakah sebenarnya yang berlaku? Berikut adalah situasi sebenar yang dikongsikan oleh penasihat undang-undang persatuan tersebut.
Saya terpanggil untuk menjawab fitnah dan tuduhan jahat yang dilemparkan kepada Ahli Jawatankuasa Tertinggi MUSA terutamanya YAB Presiden, Timbalan Presiden, Bendahari Kehormat, Naib-Naib Presiden, Setiausaha Agung dan pemegang jawatankuasa tertinggi MUSA.
Saya bersama MUSA bermula dari tanggal 15 Jun 2017 dan dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang MUSA yang bertanggungjawab ke atas semua kontrak pemain, staff dan segala hal berkaitan dengan perundangan MUSA.
Kehadiran saya pada asalnya adalah untuk mengambil tindakan ke atas MUSA terhadap satu kes pemain yg melantik saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap MUSA.
Namun selesai perkara tersebut saya telah dijemput secara hormat oleh Bekas Setiausaha Agung pada ketika itu dan disokong penuh oleh Timbalan Presiden dan Presiden pada masa yang sama untuk membantu MUSA dari segi perundangan MUSA yang pada ketika itu tiada org yg benar-benar faham tentang perundangan bolasepak menguruskannya.
Bermula dari situ MUSA telah mengemaskinikan dari segi perundangan untuk mengurangkan risiko tindakan tatatertib yang boleh dikenakan terhadap MUSA oleh FAM dan FIFA.
Alhamdulillah kita berjaya untuk mengurangkan kadar pampasan yg perlu dibayar kepada pemain sekiranya pemain tersebut tidak mencapai prestasi yg diharapkan persatuan dan harus ditamatkan kontraknya.
Nilainya bolehlah tuan2 semak pada audit tahunan Kongres Persatuan Bolasepak Melaka yg diedar kepada wakil-wakil kelab gabungan MUSA.
Tidak berhenti disitu, saya menerima arahan daripada Persatuan untuk memperkemaskan perjanjian-perjanjian kewangan untuk memberikan ruang kelebihan secukupnya kepada Persatuan bagi membolehkan pulangan kewangan yang adil buat Persatuan.
Setelah kerajaan PH mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri Melaka.
Kesemua ahli jawatankuasa tertinggi dirombak utk kesesuaian kehendak wakil2 kelab bolasepak dibawah naungan MUSA. Bagi saya, ahli jawatankuasa tertinggi MUSA yg dipilih di dalam pemilihan kongres adalah sgt unik kerana terdiri daripada pelbagai parti baik kerajaan mahupun pembangkang.
Demi kemajuan bolasepak Melaka mereka melupakan perbezaan fahaman politik dan bekerjasama secara muafakat yg dipimpin oleh YAB Presiden.
Hasilnya, untuk bajet tahun 2019 ini merupakan bajet terendah yg saya ketahui sepanjang saya bersama MUSA. Dengan bajet terhad yang diamanahkan oleh YAB Presiden, Persatuan berjaya untuk memancing nama-nama besar untuk menyertai Pasukan Melaka United bagi tahun 2019.
Semua orang ingatkan kita berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat pemain-pemain bertaraf bintang yang pernah menyarung jersi kebangsaan.
Siapa sangka Persatuan yang baharu sahaja naik ke Liga Super berjaya memancing nama-nama besar untuk menyertai Melaka United.
Ini tidak lain adalah hasil usaha, muafakat dan persefahaman utuh yg diamalkan oleh kepimpinan tertinggi MUSA. Segala masalah yang berbangkit akan diselesaikan bersama-sama barisan kepimpinan tertinggi MUSA.
Bermula dari itu, para peminat, media masa, pengkritik bolasepak mula memberi perhatian yang jelas dan khusus kepada hasrat dan cita-cita Melaka United untuk menjadi antara 5 kelab terbaik di Malaysia.
Namun hal-hal berkaitan dengan masalah penaja-penaja adalah satu hal yg tidak dapat dielakkan. Kerana sudah menjadi lumrah di dalam bolasepak negara, penaja-penaja kewangan tidak berminat untuk diikat secara kontrak bersama Persatuan.
Jadi Persatuan secara paksa rela menerima janji-janji yg ditawarkan kepada Persatuan dengan suci hati bahawa janji-janji tersebut akan ditunaikan lantas merangka bajet selaras janji-janji yg dinyatakan bakal penaja.
Walaupun penaja-penaja menjanjikan bulan dan bintang kepada persatuan, untuk mendapatkannya pelbagai ranjau dan halangan yang terpaksa ditempuhi oleh pimpinan tertinggi MUSA utk menyelesaikan amanah yang diberikan kepada mereka.
Sehingga ada pimpinan tertinggi, jurulatih dan pemain yg mengeluarkan perbelanjaan sendiri utk menampung kelompangan kewangan yg dihadapi Persatuan. Jumlahnya bukan sedikit. Sekali lagi tuan-tuan boleh semak kepada audit persatuan kelak utk mendapatkan kepastian.
Hasilnya kita berjaya untuk memenangi Piala Tun Sharifah Rodziah untuk julung kalinya walaupun dalam keadaan bajet yang sangat terhad. Tersentuh hati saya apabila melihat kesungguhan barisan Pengurusan pasukan bolasepak wanita Melaka United menagih simpati dan bantuan tanpa rasa malu demi kebanggaan bolasepak Melaka.
Sehingga ada pegawai pasukan yang menggadaikan kereta miliknya demi menampung perbelanjaan sepanjang kejohanan. Teringat saya diusik oleh pengajur semasa perlawanan akhir: “Hari ni team melaka naik kereta lagi ke? Ada live ketibaan pemain hari ni”.
Tiada apa yg dapat diucapkan selain air mata barisan pengurusan dan pemain berjujuran jatuh di atas padang Stadium Uitm Shah Alam bagi meraikan kejayaan sebuah pasukan yang dikatakan miskin.
Suka saya menyentuh perihal pasukan jiran, JDT. Walaupun mempunyai pasukan yg segala serbi mencukupi baik segi pemain, infrastruktur latihan, pengurusan, bajet, barisan kejurulatihan, Stadium dan padang latihan yg baik.
Tetap ada suara-suara sumbang yang saban hari tidak letih untuk menumbangkan semangat pasukan yg digelar Harimau Selatan tersebut. Namun apa yg dibuat oleh TMJ mendiamkan kritikan dengan kejayaan.
Oleh itu, saya menyeru kepada peminat-peminat setia bolasepak Melaka United secara khususnya untuk bersatu hati dan memberikan sokongan yg tidak berbelah bahagi kepada Persatuan demi kebanggaan bolasepak Melaka. Segala cadangan yg membina sudah pasti Persatuan akan terima kerana pasukan Melaka United ini sebenarnya adalah milik rakyat dan pencinta bolasepak negeri Melaka.
Berikan ruang dan sokongan secukupnya kepada barisan pimpinan MUSA yang sentiasa berusaha keras untuk menyelesaikan segala masalah yg melanda Persatuan. Sekiranya masih tidak berpuas hati gunakan kuasa memilih anda semasa Pemilihan Kongres kelak. Jadilah peminat yg membina, bukan menghancurkan Pasukan kesayangan kita ini.
“Elok bahasa kan bakal hidup, elok budi kan bakal mati”
Zhafri Aminurashid
Penasihat Undang-Undang Persatuan Bolasepak Melaka