Quantcast

BERITA

Peguam Griezmann Anggap Tindakan Atletico Minta €200 Juta Tidak Masuk Akal

Los Rojiblancos (Atletico) mendakwa bahawa walaupun klausa pelepasan Griezmann turun dari €200 juta kepada €120 juta pada 1 Julai, namun mereka tetap mahukan Barcelona membayar €200 juta.

Alasan Atletico adalah kerana Girezmann dan Barcelona sudah mencapai persetujuan tanpa melalui Atletico sebelum 1 Julai 2019. Atletico juga menyatakan mereka ada bukti bahawa Griezmann dan Barcelona memeterai perjanjian ‘di belakang mereka’ pada Mac lalu.

Beberapa hari lalu Barcelona mengumumkan bahawa Griezmann sebagai pemain baharu mereka. Ianya terus diberikan respon pedas oleh Atletico yang mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka mahu menuntut €80 juta lagi daripada Barcelona.

Peguam Antoine Griezmann, Karian ternyata terkejut dengan kenyataan daripada Atletico yang dilabel beliau sebagai tidak berasas.

Karian berkata kepada L’equipe: “Antoine sangat kecewa dengan sikap Atletico dan pengurusan tertinggi mereka, yang bertindak dengan niat jahat – dan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan apa yang mereka beritahu kepada pemain ini secara terus sebelum ini.”

Karian tidak faham bagaimana ada regulasi yang meletakkan Barcelona berhutang €80 juta lagi. Karian juga tidak risau akan ancaman oleh Atletico yang mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Griezmann.

“Biarkan mereka melakukan apa yang mereka rasa patut, kami pun akan melakukan perkara yang sama jika perlu,” kata Karian.

Griezmann buat masa ini tidak mahu membincangkan isu tersebut dengan media.

“Pada masa ini, bagi Griezmann, beliau hanya mahu memikirkan lembara baharu dalam kerjayanya,” tambah Karian.

“Beliau mahu meraikan kejayan [menyertai Barcelona] hujung minggu ini dengan mendapatkan rumah baharu.”