Pegawai Diplomatik Korea Utara Jumpa TMJ, Beri Jaminan Keselamatan Harimau Malaya

Perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 pusingan pertama melibatkan Korea Utara dan Malaysia sebelum ini telah ditangguhkan atas sebab-sebab keselamatan.

Ini berikutan seorang rakyat Korea Utara mati dibunuh di KLIA 2. Berlaku sedikit ketegangan diplomatik di antara kedua-dua buah negara.

Malaysia meminta perlawanan yang sepatutnya diadakan Pyong Yang itu ditangguhkan dan AFC telah menerima permohonan tersebut. Namun AFC nampaknya tidak menerima cadangan Malaysia yang mahu bermain di stadium berkecuali.

AFC memutuskan bahawa perlawanan di antara Korea Utara dan Malaysia akan berlangsung pada bulan hadapan, Oktober 2017.

Dalam satu perkongsian menerusi JST sebentar tadi, Presiden FAM, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, telah menerima kunjungan Pegawai Diplomatik Korea Utara (Charge D’Affairs), Kim Yu Song.

Dipetik daripada JST:

“Pertemuan ini membincangkan hubungan dua hala dan juga mengenai isu semasa dunia serta membincangkan perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan ‘AFC Asian Cup UAE’ 2019 Peringkat Kumpulan B di mana kedua-dua pasukan akan menjamin keselamatan para pemain dan pegawai pasukan.”

“Perbincangan tersebut membuahkan hasil yang sangat positif di mana pada masa yang sama, DYAM Tunku Mahkota Johor turut memberi ucapan antara dua pemimpin iaitu antara baginda dan pemimpin tertinggi Korea Utara.”

“DYAM Tunku Mahkota Johor turut diberi penghormatan istimewa iaitu kebenaran sepenuhnya untuk menggunakan ruang udara terus dari Johor ke Pyongyang pada bila-bila masa sahaja sekiranya baginda ingin melawat negara Korea Utara.”

“Ini merupakan satu penghormatan tertinggi kerana sebelum ini, mana-mana pihak di dunia ini adalah perlu untuk berhenti di Beijing terlebih dahulu. Allah Peliharakan Sultan.” – JST

Malaysia memulakan kempen kelayakan Piala Asia menentang Hong Kong dan sekadar mencatatkan keputusan seri di dalam perlawanan tersebut.

Kredit foto: JST (kecuali dinyatakan)

Leave a Reply