Peak pemain bola sepak adalah subjektif. Peak bermaksud tempoh terbaik atau kemuncak untuk prestasi para pemain dalam karier mereka.
Peak pemain bola sepak sangat subjektif dan ia berkait rapat secara langsung dengan kemampuan pemain itu sendiri. Secara kasarnya, ramai yang merumuskan peak pemain adalah sekitar 20 tahun dan sebelum 30 tahun.
Sir Alex Ferguson antara pengurus yang percaya peak terbaik untuk pemain bola sepak adalah di antara 24-28 tahun. Alex Ferguson ada polisi untuk tidak menandatangani pemain lebih 27 tahun.
Namun, beliau mengenepikan prinsip itu ketika mendapatkan khidmat Robin Van Persie pada 2012. Ia mungkin kerana Alex Ferguson melihat Van Persie masih mampu menyumbang untuk tahun terakhir beliau menguruskan Manchester United.
Van Persie akhirnya menjadi kunci utama kejayaan United pada musim tersebut.
Kajian Simon Kuper
Jabatan Ekonomi dengan kerjasama Kolej Perniagaan Dan Ekonomi – Universiti Radford, Amerika Syarikat telah menjalankan satu kajian untuk merungkai persoalan:
Bilakah peak (kemuncak) para pemain bola sepak?
Kajian ini diketuai oleh Simon Kuper (gambar di bawah) telah menggunakan data statistik whoscored. Ini kerana whoscored mengandungi purata gred prestasi semasa pemain.
Whoscored memberikan gred dari 0-10 adalah merujuk kepada yang paling teruk sehingga yang paling cemerlang.
Whoscored juga lengkap dengan kemaskini semasa untuk karakter, kekuatan dan kelemahan pemain di dalam padang selain daripada data data seperti hantaran, jaringan, bentesan, dan banyak lagi.
Kuper juga berkerjasama dengan pakar analisis yang lain seperti Michael Caley dan Ben Cater(BBC). Kajian mereka menggunakan banyak metodologi. Antaranya kajian ke atas:
- Purata umur pemain ketika mereka berada dalam prestasi kemuncak. Data ini melibatkan ramai pemain.
- Pengaruh minit perlawanan ke atas peak pemain – Mencari purata umur pemain yang diberikan minit perlawanan terbanyak dalam karier mereka.
- Analisis ke atas pemain yang sama usia dan perbandingan graf prestasi antara mereka
Kajian Pada Piala Dunia 2014
Kajian pertama mereka adalah pada Piala Dunia 2014. Data menunjukkan purata umur pemain yang beraksi pada Piala Dunia 2014 adalah 27.5 tahun.
Ben Carter berpendapat ia adalah purata usia terbaik untuk menyertai Piala Dunia. Namun analisis ini sangat terhad kerana ia kejohanan yang cuma berlangsung sebulan.
Analisis Dari 5 Liga Utama Eropah
Skop Kajian Kuper diperluas kepada kelab-kelab bola sepak di Eropah yang pemain-pemain mereka mengharungi 10 bulan musim bola sepak daripada 5 Liga Utama – EPL, La Liga, Bundesliga, Serie A dan Ligue 1.
Hasil kajian Kuper kali ini mendapati:
- Purata umur untuk pemain memasuki peak terbaik mereka adalah sekitar 23-25 tahun
- Pemain penyerang akan lebih cepat mencapai peak mereka berbanding dengan pemain pertahanan
- Tempoh optimum peak seseorang pemain adalah pada pertengahan usia 20-an
- Ramai pemain boleh mengekalkan peak mereka sehingga 31 tahun.
Hujah Michael Caley & Gleaves
Namun begitu, dapatan kajian Michael Caley sedikit berbeza dengan Kuper. Berdasarkan kajian Caley ke atas Liga Perdana Inggeris 2013. Caley mendapati:
- Purata umur pemain mencapai peak mereka adalah 24-28 tahun
- Purata peak terbaik untuk pemain penyerang adalah pada sekitar 25-26 tahun
Menyokong hujah Caley, seorang lagi lagi penganalisis, Gleaves merumuskan:
[table]
Kategori,Usia,
Bakat Muda,Bawah 24 tahun,
Peak (Kemuncak),24-29 tahun,
Veteran,Lebih 29 tahun,
[/table]
Perdebatan Ke Atas Kajian Tentang Peak Pemain Bola Sepak
Apa sahaja kajian dan hujah tentang peak/kemuncak seseorang pemain bola sepak sentiasa boleh diperdebatkan walaupun penganalisis telah mencuba sebaik mungkin mengumpul dan memecahkan data yang sistematik berdasarkan profail pemain yang lengkap.
Ini kerana bola sepak adalah permainan berpasukan yang lebih kompleks. Ia melibatkan 11 pemain dalam satu pasukan dan pertarungan 22 pemain di dalam padang.
Ia amat sukar untuk mengukur prestasi individu seperti mana sukan-sukan lain seperti besbol, tenis atau bola keranjang.
Skop pengaruh permainan berpasukan dalam bola sepak adalah dalam kerangka kuantiti pemain yang lebih besar.
Dalam erti kata lain, prestasi seseorang pemain juga dipengaruhi oleh pemain-pemain di sekeliling beliau secara lebih langsung.
Peak Dan Nilai Pemain Dalam Pasaran Global
Bola sepak dan perniagaan adalah dua entiti yang berkait rapat. Ilmu pengetahuan tentang kajian peak pemain ini telah menjadi antara faktor penting dalam polisi jual beli pemain terutama dari segi tag harga semasa.
Pemberian kontrak yang sesuai dengan potensi peak seseorang pemain juga menjadi sebahagian daripada perkara biasa dalam pengurusan bola sepak profesional.
Ini kerana bola sepak adalah sukan yang memerlukan seorang pemain, terutamanya pemain utama (first team player) yang boleh menyumbang kepada pasukan secara optimum.
Pemain bola sepak juga ibarat aset dagangan yang penting. Mereka ada nilai yang boleh naik dan susut pada setiap masa.
Ada beberapa kelab di Eropah seperti Arsenal telah mengenakan polisi tidak rasmi dalam pemberian kontrak lanjutan hanya setahun kepada pemain yang berusia 30 tahun ke atas.
Arsene Wenger percaya, peak pemain bola sepak berakhir selepas usia 30 tahun. Walaubagaimanapun, polisi ini kadangkala kurang disenangi ramai pihak terutamanya penyokong.
Ini kerana ramai pemain ketika usia 27,28 atau 29 tahun enggan menyambung kontrak kerana mereka cuba mengelakkan kontrak jangka pendek.
Mereka akan cuba mencari kelab lain yang mahu menawarkan kontrak lebih panjang kepada mereka terutama sekali apabila sudah melebihi usia 30 tahun.
Anda pasti masih teringat kes AC Milan yang melepaskan Andrea Pirlo dan beliau menyertai Juventus. Ramai penganalisis menyatakan, masa beliau di Juventus adalah yang terbaik dalam karier beliau.
Lebih mengecewakan apabila pemain yang terlebih umur ini masih bermain dalam prestasi terbaik pada usia lebih 30 tahun di kelab lain.
Kesimpulan
Berdasarkan kajian Simon Kuper dan beberapa penganalisis yang lain, dapatlah disimpulkan:
1. Kemuncak prestasi seseorang pemain bola sepak adalah pada pertengahan usia 20-an atau lebih spesifik sekitar 25-27 tahun.
2. Purata umur untuk penyerang dan pemain tengah mencapai peak terbaik mereka adalah pada usia 25-26 tahun. Namun pemain tengah biasanya memiliki peak yang lebih cepat dan tajam berbanding dengan penyerang kerana purata minit perlawanan mereka yang lebih banyak.
3. Peak untuk pemain pertahanan pula lebih lewat iaitu pada purata 25.7 – 26.5 tahun. Ia berkait rapat dengan ransangan psikologi, pengalaman dan motivasi yang kurang berbanding dengan penyerang dan pemain tengah ketika bermain bola sepak.
Pemain pertahanan juga boleh mengekalkan peak mereka lebih lama berbanding dengan pemain tengah dan serangan. Ini kerana mereka tidak banyak terlibat dalam gerakan yang pantas dan menggunakan tenaga yang banyak.
Dalam erti kata lain, semakin banyak seseorang pemain yang berusia menggunakan fizikal mereka, maka semakin cepat kekuatan fizikal mereka merosot.
Namun begitu pemain-pemain bola sepak memerlukan lebih banyak minit perlawanan ketika menuju ke usia kemuncak untuk mencapai peak lebih awal. Ia membantu dalam momentum pembangunan.
Kesimpulannya, peak pemain adalah berbeza. Ada sesetengah pemain yang memiliki peak yang lewat atau late bloomer seperti Jamie Vardy.
Ada juga pemain yang boleh mengurangkan impak daripada penurunan peak pada masa yang lama.
Kajian ke atas peak ini harus dipandang serius terutama di negara kita untuk memastikan ada satu graf purata sebagai panduan peak pemain.
Ini untuk memudahkan perancangan pengurusan pemain dari segi latihan yang komprehensif untuk membantu mengekalkan prestasi mereka, di samping membantu dalam pemberian kontrak yang betul.
Baca juga : Previu Fantasy Premier League 2016/2017: Minggu 11