PDRM Kerah 1,500 Anggota Pantau Keselamatan Perlawanan Malaysia-Indonesia

Seramai kira-kira 1,500 pegawai dan anggota polis akan bertugas menjaga keselamatan dan lalu lintas untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membabitkan pasukan negara dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, dan anggota-anggota tersebut akan memulakan tugasan mereka secara berperingkat mulai pukul 1.00 tengah hari.

Sebelum ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan semua tiket perlawanan telah habis dijual.

Tiket Telah Habis Terjual

Tiket perlawanan #AsianQualifiers Malaysia lwn Indonesia, Selasa ini telah pun habis terjual…

Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Sunday, November 17, 2019

Tidak kurang 85,000 penyokong bola sepak negara, termasuk 6,500 dari Indonesia akan hadir untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Melalui sidang media yang diadakan semalam, Mazlan turut mengingatkan agar penyokong kedua-dua pasukan tidak bertindak melakukan provokasi ketika perlawanan berlangsung.

“Polis akan mengambil tindakan keras bergantung kepada kesalahan yang dilakukan,” katanya sambil menggesa mereka supaya bertimbang rasa dan menjaga tingkah laku agar pelawanan berjalan lancar.

BOLA SEPAK KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022 / PIALA ASIA 2023: JANGAN CETUS PROVOKASI!

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi…

Posted by Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) on Monday, November 18, 2019

Mazlan juga berkata antara barangan yang ditegah dibawa ke stadium ialah mercun, pen laser, sebarang senjata dan minuman keras.

Orang ramai turut dinasihat menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan dan tindakan menunda akan diambil bagi kenderaan yang menghalang lalu lintas.

Leave a Reply