Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu FC (TFC) membantah cadangan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang mahu pasukan T-Team beraksi dalam Liga Perdana, musim depan.
Menurut TFC, keputusan yang mahu dibuat itu adalah tidak adil buat pasukan The Titans yang berjuang bermati-matian pada musim ini untuk kekal dalam Liga Super.
Akhbar tempatan, Berita Harian melaporkan Presidennya, Mohd Isa Che Arifin berharap Presiden PBSNT, yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman akan membuat keputusan yang tepat dan bijak demi kemajuan bola sepak di Terengganu.
“Bagi pendapat saya, adalah tidak wajar PBSNT mahu melakukan tindakan drastik itu kerana kita dapat melihat daripada kesungguhan pemain memperjuangkan pasukan T-Team daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
“Walaupun sebelum ini sudah ada khabar angin mengenai perkara ini, namun kami bagi pihak penyokong TFC tidak bersetuju dengan keputusan ini,” katanya kepada berita harian.
Semalam, Timbalan Presiden 1 PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail mengesahkan hanya satu pasukan dari Terengganu yang akan beraksi dalam saingan Liga Super untuk saingan musim depan.
Beliau mengulas khabar angin sebelum ini berkaitan penjenamaan semula pasukan dari Terengganu itu, dengan hanya satu pasukan akan beraksi dalam saingan Liga Super, manakala satu lagi bakal beraksi di pentas Liga Perdana.
Keputusan itu bermakna T-Team yang sebelum ini berhempas-pulas mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Super musim depan terpaksa ‘turun pangkat’ beraksi dalam saingan Liga Perdana.
Manakala, Terengganu yang muncul naib juara Liga Perdana musim 2017 dikatakan akan kekal beraksi di Liga Super.
Mengulas lanjut, Isa berkata TFC menyokong dan menerima keputusan yang dibuat PBSNT, jika tindakan itu memberi impak yang positif buat Terengganu dan T-Team.
“Kita tidak tahu apa perancangan PBSNT untuk jangka masa panjang, namun harapan kami mahu melihat pasukan T-Team dan Terengganu bersaing di Liga Super dengan memburu sekurang-kurangnya satu piala musim depan,” katanya. – BH