Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Paulo Josue mengakui beliau sedia untuk memulakan cabaran bersama pasukan baharu pada saingan hadapan jika mendapat tawaran lebih baik.
Josue antara pemain yang memainkan peranan penting bersama Kuala Lumpur City (KL City) sejak awal penyertaan beliau dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) beberapa tahun lalu.
Impak diberikan beliau menjadikan dirinya turut layak untuk mendapat status naturalisasi kerana sudah berada di Malaysia lebih daripada lima tahun.
Hasilnya, beliau tidak mengambil masa lama untuk terus memberikan sumbangan besar buat pasukan kebangsaan khususnya daripada segi kreativiti serta ketajaman di posisi serangan.
Untuk saingan hadapan, laporan menyatakan Josue sebenarnya masih memiliki kontrak bersama KL City sehingga pada tahun 2025, namun beliau terbuka jika ada pasukan lain dapat memberikan tawaran lebih baik untuk perjalanan kariernya.
Apa tidaknya, KL City kini menjadi antara pasukan yang terbeban dengan isu kewangan dan Josue antara pemain mengalami masalah tunggakan gaji untuk beberapa bulan.
Malah, pemain dari Brazil itu juga meletakkan harapan cukup tinggi supaya tunggakan gaji beliau dapat diselesaikan sebelum saingan musim baharu akan bermula nanti.
Walaupun masih memiliki baki kontrak sehingga tahun 2025, pemain tengah serangan itu turut mengakui menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain untuk saingan hadapan.
Namun, pemain itu dikatakan masih menyayangi KL City namun tidak menolak andai ada tawaran lebih baik untuk Josue meneruskan cabaran berbeza.
“Saya masih ada kontrak dengan KL City untuk musim depan, malangnya kelab ini menghadapi banyak masalah kewangan.
“Saya berharap mereka dapat menyelesaikannya secepat mungkin, dan kemudian memulakan musim 2024 tanpa sebarang masalah yang di bawa dari 2023.
“Saya seorang pemain profesional, dan pemain profesional mempunyai kerjaya yang sangat singkat, jadi saya perlu bersedia untuk peluang jika ada tawaran yang baik di mana saya mesti pergi.
“Tetapi jika tidak berpindah saya akan lebih gembira untuk terus berbakti dan melakar perjalanan karier saya dengan KL City.
“Setiap musim saya mendapat panggilan daripada kelab lain tetapi tiada apa yang menarik untuk membuatkan saya berpindah ke pasukan lain.
“Tetapi saya dan ejen saya sentiasa terbuka untuk mendengar tawaran dan mengadakan perbincangan,” katanya menerusi laporan telah dikeluarkan oleh Harian Metro.