Pemain naturalisasi kebangsaan, Paulo Josue antara terkesan dengan kejadian malang yang menimpa Faisal Halim, setelah pemain tersebut disimbah asid sebelum itu sehingga mengalami kecederaan teruk.
Terdahulu, kejadian malang menimpa pemain berkenaan ketika beliau berada di salah satu pasaraya terkemuka sekitar Petaling Jaya bersama keluarga, sebelum bintang Selangor tersebut diserang dua individu tidak dikenali.
Selain menyimbah asid, dua suspek tersebut turut mengucapkan ‘good luck’ kepada Faisal sebelum melarikan diri bersama motorsikal yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Namun, polis berjaya menangkap salah seorang yang dikatakan suspek pada kejadian tersebut dan bakal direman selama beberapa hari bagi membantu siasatan.
Tragedi tersebut jelas mendapat liputan meluas sehingga negara luar seperti Korea Selatan serta Thailand turut mengulas tentang apa yang telah menimpa Faisal.
Josue jelas terkejut selepas mengetahui insiden berkenaan yang juga merupakan rakan sepasukannya dalam skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa sebelum itu.
Pemain kelahiran Brazil itu jelas tampil bersimpati dengan apa yang menimpa Faisal serta menganggap kejadian tersebut sukar untuk dijangka oleh sesiapa pun.
“Apa yang saya baca, Faisal sedang berada di sebuah pusat beli-belah dan seseorang telah menyerangnya dengan menyimbah asid.
“Jadi, bagaimana kita nak menjangka perkara ini? Kita tidak boleh jangka kerja ‘gila’ orang di luar sana.
“Faisal seorang bintang di Malaysia. Seperti saya, saya bukan seorang yang popular di sini, jadi saya tidak begitu khuatir dengan keadaan sekeliling.
“Saya lebih suka menghabiskan masa di rumah bersama keluarga. Meskipun begitu, saya tetap akan berhati-hati selepas ini.
“Bagaimanapun, saya berharap agar Faisal dapat sembuh dengan segera,” kata Josue menerusi laporan telah dikeluarkan oleh Harian Metro mengenai kejadian tersebut.
Akhir sekali, Josue turut mendoakan supaya pemain kelahiran Pulau Pinang itu kembali sembuh serta dapat beraksi buat Harimau Malaya pada aksi seterusnya nanti.
Selain Faisal, seorang lagi pemain iaitu Akhyar Rashid turut diserang beberapa hari lalu oleh dua individu tak dikenali sehingga beliau mengalami kecederaan pada bahagian kepala, lengan, serta kaki di Terengganu.