Paulo Dybala Mengambil Sepakan Penjuru Yang Dianggap Paling Teruk Dalam Sejarah

Paulo Dybala dikatakan telah mengambil sepakan penjuru yang paling teruk dalam sejarah dunia bola sepak ketika beraksi untuk AS Roma bertemu Shakhtar Donetsk.

Pemain kebangsaan Argentina itu merupakan antara salah seorang dari lima pemain yang baru sahaja ditandatangani oleh juara saingan Europa Conference League musim lalu itu.

Beliau menyertai skuad kendalian Jose Mourinho itu pada jendela perpindahan musim panas ini menerusi perjanjian perpindahan secara percuma selepas kontraknya bersama Juventus tamat.

Beliau telah disambut oleh ribuan penyokong AS Roma yang turut hadir di Square Colosseum ketika awal beliau diperkenalkan sebagai pemain kelab.

Dybala dan seorang lagi penandatanganan terbaru kelab, Gini Wijnaldum diraikan oleh peminat ketika mereka diperkenalkan menjelang aksi bertemu Shakhtar Donetsk di Stadio Olimpico.

Walau bagaimanapun, aksi pertama beliau di dalam perlawanan ini adalah ketika beliau mengambil sepakan penjuru dan ia sebenarnya antara sepakan penjuru yang mahu segera beliau lupakan.

Ia dianggap sebagai antara sepakan penjuru paling teruk dalam sejarah dunia bola sepak dengan bola rembatan Dybala terus keluar ke belakang gawang gol.

Para peminat sendiri turut speechless melihat sepakan penjuru tersebut dengan para pemain Roma juga segera memulakan permainan selepas melihat betapa teruknya sepakan dari Paulo Dybala itu.

Pemain berusia 28 tahun itu dikatakan menyalahkan permukaan padang tak rata sebagai punca mengapa beliau menghasilkan sepakan penjuru seteruk itu.

Sejujurnya dakwaan Dybala itu sememangnya masuk akal kerana ketika kamera merakam permukaan padang sebelum beliau mengambil sepakan penjuru tersebut, keadaan padang jelas sekali memang agak teruk.

Paulo Dybala jelas sekali mahu segera lupakan hal tersebut dan para peminat sendiri juga tentu saja tidak akan merasa bimbang kerana mereka sedar kemampuan sebenar bintang Argentina itu.

AS Roma berjaya mencatatkan kemenangan selesa 5-0 ke atas kelab dari Ukraine tersebut dengan gol mereka berjaya dihasilkan oleh Lorenzo Pellegrini, Gianluca Mancini, Yukhym Konoplya (gol sendiri), Nicolo Zaniolo dan Edoardo Bove.

Selepas beliau menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama Roma, Dybala berjaya membuktikan yang beliau antara pemain yang paling dikagumi di Itali.

Beliau berjaya memecahkan rekod Ronaldo sebagai pemain yang jersinya paling laku dalam sejarah saingan Serie A.

Dybala turut ditawarkan nombor ikonik bernombor 10 yang sebelum ini dipakai oleh Francesco Totti, namun beliau menolak dan lebih memilih untuk memakai jersi bernombor 21.

Leave a Reply