Paul Scholes, ‘Ginger Maestro’ Yang Hanya Memerlukan But Bernilai £40 Untuk Jaringkan Gol

Paul Scholes. Bagaimanakah cara terbaik untuk menggambarkan bekas pemain berstatus legenda yang pemalu ini? Di kalangan pemain yang sezaman dengan beliau, pemain ini dianggap sebagai pemain tengah terbaik yang pernah dilahirkan oleh Manchester United.

Memiliki sentuhan pertama yang elegan, keupayaan melakukan hantaran dengan visi yang dilabel genius, dan sudah tentu juga terjahan keras yang tidak semena-mena sebagai balasan kepada pemain lawan yang melakukan terjahan terlebih dahulu adalah pelengkap mengapa beliau digelar legenda.

.(Photo by John Peters/Man Utd via Getty Images)

Sepertimana pemain lain berstatus legenda, corak permainan Scholes tetap unik mengikut acuan beliau tersendiri, dan keupayaan beliau bersama Manchester United masih belum boleh ditandingi mana-mana pemain sehingga ke hari ini.

Dari Salford ke Langley

Scholes dilahirkan pada 16 November 1974 di Salford, Manchester. Namun beliau dibesarkan di Langley, sebuah kawasan yang berada di Middleton, Manchester dan terletak hanya beberapa kilometer dari sebuah lagi kelab terkemuka bandar tersebut, Manchester City.

Walaupun mendapat pendidikan di Middleton, jodoh Scholes sememangnya sudah tertulis akan bersama wilayah merah bandar Manchester apabila dipanggil menyertai akademi bola sepak Manchester United pada usia 14 tahun.

Bermula dari situ, ia bagaikan legenda di dalam pembuatan. Scholes adalah antara nadi penting skuad ‘Class of 92’ yang menjuarai Piala FA Belia pada 1992, di dalam skuad yang turut memiliki David Beckham, Ryan Giggs, Nicky Butt, dan juga Neville bersaudara.

Scholes bergelar pemain profesional penuh pada tahun berikutnya, dan bermulalah perjalanan mengejar gemilang.

The Theatre of Dreams

Ada sebab mengapa Old Trafford digelar sebagai ‘The Theatre of Dreams’, oleh Sir Bobby Charlton. Terjemahan bakunya ialah ‘Layar Impian’.

Bagi pemain kelahiran Manchester seperti Scholes, ia adalah arena untuk mencapai segala impian di dalam bola sepak.

Debut bersama skuad senior Manchester United tiba pada 21 September 1994, dan Scholes menjaringkan dua gol untuk memberikan kemenangan 2-1 ke atas lawan mereka itu di Piala Liga.

Penampilan pertama di Liga Perdana Inggeris (EPL) pula tiba tiga hari kemudian, dan Scholes sekali lagi berada didalam senarai penjaring, walaupun Manchester United tewas 3-2 kepada Ipswich Town di Portman Road.

(Photo by Staff/Mirrorpix/Getty Images)

Gol sulung Scholes di Old Trafford hanya tiba pada 3 Januari 1995 dalam saingan liga apabila Manchester United mencatat kemenangan 2-0 ke atas Coventry City.

Musim pertama bersama United, Scholes sudah pun menjaringkan tujuh gol untuk kelabnya itu. Pada 1995/96 perpindahan Mark Hughes ke Chelsea, diikuti oleh pergantungan 8 bulan yang dihadapi Eric Cantona membuka lebih banyak ruang untuk Scholes beraksi.

Sepanjang tempoh pergantungan Cantona, Scholes digandingkan bersama Andy Cole di bahagian hadapan oleh Alex Ferguson.

Paul Scholes of Manchester United celebrates his goal with Andy Cole (Photo by Matthew Ashton/EMPICS via Getty Images)

Menggunakan jersi No.22 pada ketika itu setelah sebelumnya memilih No.24, rekod jaringan Scholes terus meningkat sejajar dengan koleksi kejuaraan untuk musim-musim berikutnya.

Ia pasti bukan kebetulan. Dua musim-(1993/94 & 1995/96), Manchester United bergelar juara berganda apabila menjuarai kejuaraan EPL dan Piala FA, sejak ketibaan Paul Scholes.

Jersi No.18

Sepanjang tempoh bersama Manchester United, Scholes telah menggunakan beberapa nombor jersi yang berlainan, namun No.18 adalah pilihan yang sinonim dengan pemain tengah ini.

No. 18 mulai digunakan oleh Scholes pada musim 1997/98. Musim tersebut turut menyaksikan Scholes sekali lagi berubah posisi, kali ini, Scholes kembali ke bahagian tengah setelah kecederaan yang menimpa Roy Keane pada penghujung 1997.

Manchester United’s Paul Scholes celebrates after scoring the opening goal against Leeds with Roy Keane (Photo by Matthew Ashton/EMPICS via Getty Images)

Pada musim 1998/99 boleh dianggap sebagai musim terbaik bagi Paul Scholes bersama Manchester United apabila membawa pulang gelaran treble.

Merupakan tongak utama di bahagian tengah, Scholes menjaringkan 11 gol pada musim tersebut, dan jaringan di perlawanan akhir Piala FA menentang Newcastle United pasti antara yang akan dikenang sampai bila-bila oleh beliau.

Scholes tidak boleh beraksi di perlawanan akhir UEFA Champions League menentang Bayern Munich selepas itu akibat layangan kad kuning di peringkat separuh akhir, tetapi ia tidak boleh menafikan sumbangan beliau kepada Manchester United.

Musim-musim berikutnya terus memperagakan potensi sebenar pemain ini sebagai aantara pemain tengah terbaik yang dunia pernah saksikan. Musim 2002/03, Scholes menjaringkan 20 gol, jumlah terbanyak yang dijaringkan di dalam tempoh semusim.

Episod hitam

Episod hitam di dalam karier Scholes bermula pada babak kedua musim 2005/06, dan ia disebabkan oleh masalah penglihatan kabur yang tiba-tiba dialaminya.

Selepas beraksi dalam perlawanan menentang Birmingham yang berkesudahan 2-2 pada Disember, Scholes dihantar oleh pihak kelab untuk bertemu doktor pakar.

Manchester United’s Paul Scholes lies injured (Photo by Jon Buckle – EMPICS/PA Images via Getty Images)

“Pada mulanya kami ingatkan ia adalah kerana gegaran pada kepada. Tetapi Scholes berterusan mengadu mengenai masalah penglihatan yang menjadi kabur.”

“Maka kami menghantar beliau untuk berjumpa pakar. Sehingga kini, kami sebenarnya tidak tahu apakah punca sebenar kepada masalah yang dihadapi Scholes,” ujar Sir Alex Ferguson mengenai pemainnya itu pada Januari 2006.

(Photo by Lefty Shivambu/Touchline/Getty Images)

Scholes kembali beraksi lebih cepat daripada yang dijangkakan. Namun jarang sekali kita menyaksikan gol dari luar kotak penalti seperti yang sering dilakukannya sebelum itu.

Bagaimanapun, permainan Scholes berevolusi sesuai dengan keperluan pasukan. Daripada seorang penyerang tengah menyerang yang menjaringkan gol, Scholes berubah menjadi seorang pemain tengah perancang yang digeruni.

Pada 2007/08 sekali lagi Scholes berjaya membawa United ke perlawanan akhir UEFA Champions League. Kali ini beliau tidak kecewa, apabila berada di dalam kesebelasan utama dan muncul juara selepas menewaskan Chelsea di Moscow.

Gol jaringan beliau di separuh akhir menentang Barcelona seperti di pautan di atas, pasti mengingatkan kita akan kebolehan ‘trademark’ nya itu.

Kembali dari persaraan dan but bernilai £40

Scholes mengambil keputusan untuk bersara pada penghujung musim 2010/11, setelah menjuarai kejuaraan EPL ke-10 peribadi.

Malah pihak kelab turut mengadakan perlawanan testimonial untuk beliau, sebelum jersi keramat No.18 miliknya dipindah milik kepada Ashley Young. Ia bagaikan kisah pengakhiran buat ‘ginger maestro’ ini di Layar Impian yang telah menterjemahkan segala mimpi miliknya menjadi nyata.

(Photo by Matthew Ashton/AMA/Corbis via Getty Images)

Namun pada Januari 2012 ketika Sir Alex Ferguson berhadapan dengan krisis kecederaan di Old Trafford, Scholes mengejutkan ramai apabila melakukan u-turn, untuk kembali beraksi.

Pada ketika ini kebanyakkan pemain akan meminta Nike atau mana-mana penaja kasut but yang lain untuk menghantar kelengkapan sepatutnya secara percuma.

(Photo by John Peters/Man Utd via Getty Images)

Tetapi itu bukan karakter yang dimiliki oleh Scholes. Beliau tidak memerlukan kasut berwarna-warni ataupun istimewa ditempa khas untuk beliau dengan nama turut terpampang sekali.

Sebaliknya, Scholes pergi ke sebuah kedai sukan tempatan dikenali sebagai JBB Sports di bandar Manchester, dan memilih sepasang kasut but bernilai £40.

Beberapa hari kemudian, Scholes berada di dalam senarai skuad bertemu City. Dimasukkan sebagai pemain gantian, aksi Scholes kelihatan agak berkarat pada 5 minit pertama perlawanan, mungkin disebabkan oleh but baru yang masih keras.

(Photo by Laurence Griffiths/Getty Images)

Tetapi selepas itu, Scholes membantu pasukannya untuk memperlahankan tempo perlawanan, dan berjaya menghalang kebangkitan City di Etihad.

Scholes sempat menjaringkan lima lagi gol selepas itu, yang terakhir dalam kemenangan 4-0 ke atas Wigan pada 15 September 2012, sebelum menamatkan sambungan kontrak selama setahun pada 19 Mei 2013 dalam perlawanan yang berkesudahan 5-5 ketika menentang West Brom.

Rumusan

Roy Keane pernah melabel Paul Scholes sebagai pemain yang tidak gemar akan kehidupan lagak seperti seorang selebriti. Keane menggambarkan gaya hidup tersebut sebagai ‘celebrity bullshit’.

Ia mungkin gambaran paling tepat buat Scholes. Beliau memilih untuk kekal sederhana, jauh dari perhatian media. Tidak ada akaun media sosial, dengan gaya rambut yang kekal sama sehingga ke hari ini.

Artikel ini lebih daripada untuk membawa penyokong United untuk mengimbau sejarah. Jika direnungka, kritikan Scholes terhadap pemain seperti Paul Pogba baru-baru ini juga sebenarnya terselit pengajaran buat generasi baharu pemain di Old Trafford.

Scholes adalah contoh profesional yang hanya memberi fokus kepada permainan dan prestasi di atas padang, contoh terbaik pemain yang benar-benar beraksi untuk lencana di dada.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN