Tonggak utama Manchester United, Paul Pogba meminta rakan sepasukannya untuk kembali bangkit menemui sentuhan kemenangan selepas mencatatkan tiga keputusan seri berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Selepas diikat Leicester City dan Burnley dengan keputusan 2-2, United sekali lagi menghampakan peminat setia The Red Devils apabila sekadar terikat tanpa jaringan bertemu Southampton di Old Trafford awal pagi tadi.
Rentetan keputusan seri yang dicatatkan itu menyebabkan Manchester United semakin jauh ditinggalkan musuh setempat, Manchester City. Sementara itu, Chelsea yang membelasah Stoke City malam tadi berjaya memintas kedudukan United untuk berada ditempat kedua liga.
Ketika bercakap kepada MUTV, Paul Pogba yang ditugaskan selaku ketua pasukan pada pertemuan bertemu Southampton itu berharap agar mereka dapat kembali mencipta kemenangan.
”Kami tidak tewas tetapi kami perlu ‘bangun’, kembali bangkit dan mendapatkan kembali kemenangan ,” kata beliau kepada MUTV. ”Kami terus mencatatkan keputusan seri. Tiga keputusan seri yang sepatutnya kami harus menang. Sesuatu perlu diubah dan kami perlu berubah untuk memenangi perlawanan.”
”Hanya satu hari dan kami akan beraksi menentang Everton. Inilah bola sepak. Hari berikutnya esok dan kami perlu kesana(Goodison Park) dan menang.”
Ketika ditanya mengenai kecederaan yang melanda Romelu Lukaku, pemain antarabangsa Perancis ini berkata: ”Apabila kami mempunyai Romelu, dia memberikan kesukaran kepada pemain pertahanan lawan dan juga mencipta banyak ruang. Kehilangannya amat besar buat kami tetapi kami mempunyai skuad yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan Romelu ketika ini.”
Romelu Lukaku mengalami kecederaan di kepala apabila bertembung dengan pemain Southampton, Wesley Hoedt pada awal permainan yang memaksa beliau diusung keluar bagi digantikan dengan Marcus Rashford.