Berikutan prestasi kurang meyakinkan Arsenal pada empat perlawanan awal Liga Perdana Inggeris menyebabkan bekas pemain, Paul Merson lantang mengkritik kelab London itu.
Merson yang beraksi buat Arsenal sekitar tahun 1985 hingga 1997 menganggap masih tiada perubahan yang dijelmakan Arsenal selepas beralih ke era pengurusan baharu yang dikepalai Unai Emery.
Ternyata begitu kecewa dengan perkembangan terkini pasukan, Merson turut menyifatkan permainan yang dipamerkan Arsenal seolah-olah aksi ‘testimonial atau perlawanan amal’.
Arsenal tewas pada dua perlawanan awal setelah tumbang ditangan Manchester City (2-0) dan Chelsea (3-2), namun kembali bangkit untuk menang ketika bertemu West Ham United dengan keputusan 3-1 dan yang terbaru menundukkan Cardiff City (3-2).
Bercakap kepada Sky Sports mengenai pendapatnya, Paul Merson berkata:
”Saya ingin mengatakan bahawa tiada perubahan pada ketika ini.”
”Saya mengikuti perkembangan Arsenal dan jika anda tidak mengetahuinya, anda akan berfikir Arsene Wenger masih lagi merupakan pengurus Arsenal.”
”Saya menyaksikan perlawanan Arsenal dan ia seperti menonton satu perlawanan testimoni atau perlawanan amal.”
”Perlawanan mereka begitu terbuka, tiada pemain yang benar-benar melakukan asakan terhadap pemain lawan.”
“Sewaktu menewaskan West Ham United, ketika perlawanan terikat pada kedudukan 1-1, saya merasakan West Ham akan menjadi pasukan yang mengubah permainan.”
”Apapun, mereka (pemain Arsenal) telah melakukannya dengan baik untuk memenangi permainan itu tetapi perlu lebih banyak peningkatan.”
”Tetapi ia akan mengambil masa, akan mengambil masa. Pengurus tidak hanya masuk dan tidak berupaya untuk mengubahnya begitu sahaja.”
“Ini telah tertanam dalam diri pemain ini untuk jangka masa yang panjang, beberapa pemain telah lama berada di kelab ini.”
Bagaimanapun, Merson masih meletakkan kepercayaan terhadap Emery bagi membimbing Arsenal ke arah pencapaian yang lebih baik.
”Dia (Unai Emery) merupakan pengurus yang baik, sama seperti Arsene Wenger tetapi ia sememangnya akan mengambil masa.”
”Dia mahu Arsenal bermain dengan corak permainan ‘pressing’ tetapi dia tidak mempunyai pemain yang boleh melakukannya pada ketika ini.”
”Jadi dengan baki permainan musim ini dan musim hadapan yang akan datang, saya merasakan akan terdapat peningkatan dalam pasukan ini.”