Pengurus Swansea City, Paul Clement mengikuti jejak langkah Craig Shakespeare, Ronald Koeman dan Slaven Bilic apabila dipecat berikutan prestasi hambar yang dipamer kelab bimbingannya ketika ini.
Swansea City kini berada berada di dasar liga setelah mengumpul 12 mata apabila hanya mencatatkan 3 kemenangan, 3 seri dan 12 kekalahan selepas berakhir 18 perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Clement yang berjaya membantu Swansea keluar dari zon penyingkiran liga musim lalu selepas mengambil alih tugas dari Bob Bradley pada bulan Januari 2017, terpaksa meninggalkan Stadium Liberty hanya setahun beliau berkhidmat di kelab dari selatan Wales itu.
Pengerusi kelab, Huw Jenkins dalam satu kenyataan yang dikeluarkan laman web rasmi kelab berkata: ”Untuk menukar pengurus, terutamanya hanya pada separuh perjalanan musim adalah perkara terakhir yang kami mahu lakukan untuk kelab ini.”
”Kami mempunyai tiga pengurus yang berbeza musim lalu dan keputusannya adalah untuk kami semua memberikan lebih masa buat Paul (Clement) untuk mengubah keadaan.”
”Tetapi kami merasakan yang kami tidak boleh membiarkannya lagi dan memerlukan perubahan untuk memberikan peluang yang terbaik dalam meningkat dan memulihkan nasib pasukan di tangga terbawah Liga Perdana Inggeris.”
”Paul telah bersama dengan kelab untuk 12 bulan dan apa yang dia kecapi pada pusingan kedua musim lalu meletakkan kami di puncak prestasi.”
”Saya mempunyai hubungan kerja yang sangat baik dengan Paul dan kami semua termasuk pemilik kelab, terkejut dan kecewa kerana semuanya tidak menjadi musim ini.”
”Kami berharap Paul berjaya dalam kariernya pada hari mendatang.”
Berikutan keputusan ini, pembantu Clement iaitu Nigel Gibbs dan Karl Halabi turut meninggalkan pasukan.
Disamping prestasi hambar yang dipamerkan ketika ini, Swansea City juga dikritik dalam soal pembelian pemain sejak hujung musim lalu dengan kehadiran Renato Sanches, Wilfried Bony dan Roque Mesa begitu bergelut untuk memberikan impak buat kelab tersebut.
Antara pencapaian menarik Paul Clement ketika membimbing Swansea City pada musim lalu adalah kejayaan meraih anugerah pengurus terbaik Liga Perdana Inggeris bagi bulan Januari.
Kejayaan itu diraih sebaik sahaja beliau membimbing Swansea dan membawa skuad bimbingannya melakar 4 kemenangan dalam 6 perlawanan terawal termasuk berjaya menumpaskan Liverpool di gelanggang sendiri.