Pengendali utama skuad kebangsaan iaitu Pau Marti Vicente pastinya kini menjadi antara individu paling sibuk untuk membuat persiapan rapi sebelum pasukan kendaliannya bertemu New Zealand.
Setelah beberapa hari mengharungi sesi latihan di sana serta menjalani satu aksi persahabatan bertemu kelab tempatan iaitu Auckland FC, sudah tentu aksi pada hari esok bakal menjadi salah satu detik penting buat Pau Marti untuk melihat aksi bakal ditampilkan oleh anak-anak buahnya.
Jika dilihat pada keputusan aksi persahabatan lalu, Harimau Malaya sekadar terikat seri ketika bertemu Auckland FC dengan jaringan pasukan kebangsaan diledak oleh bintang utama Selangor iaitu Nooa Laine.
Keputusan aksi tertutup itu rata-rata kurang mendapat maklum balas dalam kalangan peminat di ruangan komen yang mengharapkan skuad kebangsaan mampu untuk mencipta sesuatu lebih baik lagi sebagai bekalan motivasi menentang New Zealand.
Namun, segalanya sudah tentu terserah kepada Pau Marti sendiri yang melihat serta bakal menilai barisan pemain terbaik beliau untuk dibawa turun pada aksi esok.
Untuk aksi esok, bekas pengendali akademi Barcelona itu menyeru kepada barisan pemainnya supaya tampil berwaspada akan ancaman bakal dibawa tuan rumah.
Malah saingan lebih sengit mungkin bakal diberikan lawan melebihi apa yang telah dilalui Malaysia ketika bertemu Auckland FC sebelum itu.
Kata Pau Marti, aksi persahabatan lalu dianggap cukup bermakna buat beliau dan para pemain kerana corak permainan ditampilkan kelab itu dianggap mirip akan pendekatan digunakan New Zealand.
“Secara jujur, aksi yang sama kita jangkakan apabila berdepan New Zealand nanti. Perlawanan itu kita jangka aksi tertumpu kepada kekuatan fizikal, kepantasan selain berintensiti tinggi,” kata beliau menerusi perkongsian dibuat oleh Kosmo.
Terdahulu, New Zealand meneruskan rentak positif mereka di pentas antarabangsa untuk tidak tewas dalam dua perlawanan berturut-turut dengan kali ini Tahiti dijadikan sebagai mangsa terbaharu.
Pada aksi yang berlangsung pada Jumaat lalu, New Zealand berjaya memperoleh tiga gol dengan salah satunya diledak oleh bintang bola sepak dunia iaitu Chris Wood.
Sudah tentu bintang Nottingham Forest itu sekali lagi bakal menjadi tumpuan ramai peminat untuk melihat ketajamannya menguji jentera pertahanan Harimau Malaya.
Dijangka Ahmad Syihan Hazmi bakal menjadi pilihan utama Pau Marti selaku penjaga gol utama Malaysia demi menghalang setiap percubaan-percubaan akan dicipta tuan rumah.