Bekas rakan sepasukan Aaron Wan-Bissaka ketika di Crystal Palace, Patrick van Aanholt menegaskan bahawa pemain sayap kanan Manchester United itu lebih baik berbanding bintang Liverpool, Trent Alexander-Arnold.
Van Aanholt dalam pada itu turut melabelkan Wan-Bissaka sebagai bek sisi terbaik England pada ketika ini dan beliau mendakwa Raheem Sterling juga berpendapat sedemikian.
Wan Bissaka yang menyertai Manchester United pada jendela perpindahan musim panas lalu pantas membalas kepercayaan Ole Gunnar Solskjaer apabila beliau sentiasa menjadi pemain kesebelasan utama pada musim ini.
Keadaan itu membuatkan van Aanholt tanpa berselindung berpendapat pemain berusia 22 tahun itu lebih baik berbanding Alexander-Arnold.
” [Wan-Bissaka] lebih baik dari Alexander-Arnold? Tanpa ada perasaan sedikit pun ragu-ragu.”
”Mereka adalah pemain yang berbeza. Dari segi bertahan, Aaron lebih luar biasa, lebih baik berbanding Trent,” ujar van Aanholt menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Benar, Trent mempunyai kelebihan dari segi menyerang dan kualiti sepakan sudutnya, kaki kanannya. Tetapi jika anda bertanyakan kepada Wilf [Zaha] dengan siapa yang dia mahu bersaing pada setiap hari, sama ada Trent atau Wan-Bissaka, saya merasakan dia akan mengatakan Trent.”
”Saya mempunyai rasa hormat terhadap Trent kerana dia melakukan segalanya dengan bantuan jaringan dan dia sangat hebat, tetapi dari segi bertahan, tanyakan kepada Sterling, betapa bagusnya Wan-Bissaka.”
”Dia adalah salah seorang daripada pemain pertahanan kanan terbaik, saya merasakan dia boleh melakukannya, corak serangannya juga bagus. Tetapi dia perlukan lebih banyak bantuan jaringan dan gol dihasilkan.”
”Aspek bertahan menjadi keutamaan tetapi dalam bola sepak moden, anda perlu untuk menyerang dan di United, dia lebih banyak mendapat bola, jadi perlu bergerak ke atas dan membuktikan apa yang dia miliki,” ujar van Aanholt lagi.