Patrick Kluivert Anggap Pemain Tempatan Sebagai ‘Jantung’ Indonesia

Pengendali baharu Indonesia iaitu Patrick Kluivert kini sudah tentu memiliki banyak tugasan perlu disiapkan demi memastikan pasukan itu mampu melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2026.

Apa tidaknya, Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) terdahulu menyatakan sasaran mereka adalah untuk melayakkan diri ke pentas kejohanan tersebut dengan menyerahkan tanggungjawab itu kepada Kluivert.

Hadir menggantikan khidmat Shin Tae-yong yang tidak lagi bersama Sang Garuda, sudah tentu para peminat juga mengharapkan sesuatu lebih daripada bekas pemain Barcelona itu.

Pengalaman luas dimiliki Kluivert selaku pemain dan pengurus pasukan menjadikan beliau sebagai antara nama cukup besar dalam dunia bola sepak dan pengalaman serta idea jurulatih itu kini ditagih buat Indonesia.

Persoalannya kini, adakah beliau akan mengutamakan para pemain warisan untuk dibawa menyertai kem latihan skuad kebangsaan atau turut memberi peluang kepada bakat tempatan?

Menerusi perkongsian dibuat oleh Bola.com, Kluivert mengakui pemain tempatan juga sangat penting dan menyifatkan mereka sebagai jantung serta jiwa pasukan di atas padang.

Malah, kehadiran pemain warisan juga dianggap sebagai pelengkap kekuatan Indonesia dengan beliau akan sentiasa memberi peluang kepada mereka yang terbaik pada matanya.

“Pemain yang lahir di Indonesia adalah jiwa serta jantung buat pasukan kebangsaan begitu juga kepada tonggak warisan umpama kaki dan tangan skuad Sang Garuda,” ujar beliau.

Pada masa sama, Kluivert turut memuji kualiti bintang muda Sang Garuda iaitu Marselino Ferdinan dan beliau mahu memantau lebih ramai bakat tempatan berkualiti selepas ini sebelum diserap bersama kem kebangsaan.

Selain itu, Kluivert juga bakal mencipta beberapa perubahan dalam permainan demi mencipta legasi baharu selepas ia ditinggalkan oleh Shin dengan cukup baik.

Menurut laman tersebut, kemungkinan besar Kluivert bakal menggunakan formasi 4-3-3 dan menerapkan falsafah permainan lebih agresif di posisi serangan berbanding situasi terdahulu.

Memandangkan saingan kelayakan Piala Dunia seterusnya bakal bersambung tidak lama lagi, sudah tentu Kluivert tidak akan mengambil risiko mencipta rombakan besar dalam kalangan para pemain.

Apapun, ia tetap mengujakan para peminat untuk melihat sejauh mana sentuhan jurulatih itu mampu memacu skuad Indonesia selain perubahan baharu dalam corak permainan mereka.

Sumber:
Bola.com

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN