Sejak 2,3 musim kebelakangan ini di Eropah kita dapat saksikan rata-rata pasukan yang menguasai separuh akhir kejohanan Eropah adalah dari pasukan Sepanyol atau Jerman.
Dominasi pasukan Sepanyol kebelakangan ini cukup jelas hinggakan berjaya menafikan penguasaan yang cuba diganggu oleh pasukan dari Jerman, Itali mahupun England.
Melihat kepada persembahan cemerlang Real Madrid dan Atletico Madrid ketika kedua-dua aksi separuh akhir UEFA Champions League, penganalisis BT Sport iaitu Rio Ferdinand merasakan yang persembahan kedua-dua pasukan itu “terlalu hebat”.
Bagi beliau, piawaian yang ditunjukkan oleh 2 pasukan Madrid itu terlalu tinggi hinggakan pasukan terbaik di Premier League belum tentu mampu berjaya dapat tandingi piawaian tersebut.
“Pasukan England masih jauh ketinggalan jika nak dibandingkan dengan pasukan utama Eropah yang lain.”
Ferdinand merasakan dengan hasil wang hak penyiaran yang cukup banyak diterima oleh pasukan Premier League telah membuatkan mereka sering mengubah corak pasukan itu sendiri dengan sering bertukar pemain dan pengurus.
“Lihat pasukan utama Eropah yang lain – Real Madrid, Bayern Munich, Juventus.”
“Pasukan England ada banyak sangat duit sampai setiap masa mesti nak tukar bentuk pasukan. Sekejap tukar pengurus, sekejap tukar pemain.”
“Boleh cakap yang pasukan di England kerap berada dalam proses transisi. Jadi bila nak stabil?”
Para penganalisis BT Sport merasakan hanya Chelsea sahaja pasukan yang benar-benar stabil ketika ini.
“Mereka ada kesebelasan utama yang mantap dan betul-betul stabil. Saya tak rasa Manchester United punya kesebelasan utama yang stabil seperti Chelsea.”
“Di England, mereka suka sangat ubah struktur skuad. Mereka lalu satu musim yang teruk dan kemudiannya musim hadapannya mereka ubah skuad dengan berbelanja besar.”
Baca juga: 5 Perkara Kita Pelajari Daripada Kemenangan Separuh Akhir Europa League Man Utd