Pengarah Urusan Action Football Asia, Effendi Jagan Abdullah mendedahkan pasukan Liga Super yang bakal bersaing dalam Liga Malaysia musim depan, dijangka memerlukan dana antara RM15 juta hingga RM20 juta untuk membentuk skuad mantap .
Beliau berkata jumlah itu merangkumi semua aspek termasuk gaji pemain yang dijangka sekurang-kurangnya RM6 juta untuk semusim, selain gaji barisan kejurulatihan dan kos pengurusan.
Effendi yang sudah lebih 15 tahun terbabit sebagai ejen pemain berkata ada juga pasukan kurang berkemampuan dijangka berbelanja lebih rendah sekali gus mungkin menyenaraikan ramai pemain kurang ternama atau masih muda.
Beliau bercakap kepada berita harian, pada masa ini pemain import terbahagi kepada empat gred iaitu A bagi pemain bergaji antara RM65,000 hingga RM80,000 dan ke atas, manakala B (RM40,000-RM60,000), C (RM25,000-RM40,000) dan D (RM10,00-RM25,000).
“Bagi pemain import Asia Tenggara, kita tidak banyak pilihan dengan kemungkinan ia datang daripada lima negara yang saja iaitu Thailand, Singapura, Filipina, Indonesia dan Myanmar. Saya fikir pemain Vietnam sukar untuk keluar kerana kekangan masalah bahasa.
“Apapun, syarat untuk pemain Asia Tenggara adalah 30 kali mewakili pasukan negara mereka dan sudah pasti ia pemain antarabangsa. Saya fikir gaji mereka antara RM20,000 hingga RM35,000.
“Bagi pemain tempatan pula ia bergaji antara RM15,000 hingga RM50,000, bergantung kepada pengalaman manakala pemain muda seperti dari skuad Piala Presiden antara RM5,000 hingga RM10,000,” katanya kepada berita harian.
Bagi pasukan Liga Perdana pula, Effendi menjangkakan persatuan atau kelab memerlukan sehingga RM12 juta dan ke atas untuk membentuk pasukan mantap yang mampu bersaing merebut kejuaraan.
“Secara kasarnya pasukan Liga Perdana mungkin memerlukan bajet RM5 juta untuk gaji pemain saja.
“Apapun, semuanya terpulang kepada kemampuan pasukan. Jika pasukan kurang berkemampuan, mereka mungkin tidak akan mengikat ramai pemain sudah ada nama bagi mengimbangi kos perbelanjaan,” katanya.