Pertahanan kental dari Nigeria iaitu James Okwuosa secara rasminya tidak lagi akan bersama PDRM untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/2025.
Ianya diumumkan sendiri melalui media rasmi PDRM dengan menyatakan pemain kelahiran Nigeria itu sah tidak akan bersama mereka lagi untuk saingan hadapan.
James yang mewakili PDRM pada saingan lalu menjadi antara pemain import paling menyerlah bersama The Cops di posisi pertahanan menerusi penglibatan beliau dalam setiap perlawanan dihadapi.
Musim lalu menyaksikan James telah pun diberi peluang beraksi sebanyak 24 perlawanan untuk saingan Liga Super 2023 dengan tiga gol berjaya diledak beliau selain satu bantuan jaringan turut dihasilkan pemain tersebut.
Hadir dengan aksi yang cukup berdisiplin serta memiliki kualiti penyudah di hadapan gol menjadikan James sebagai antara pemain import paling menonjol dalam saingan Liga M buat PDRM.
Melihat kepada kualiti dimiliki James, pastinya beberapa kelab dalam saingan Liga M kini sedang mencongak peluang untuk cuba menandatangani pemain tersebut.
Kuching City
Pasukan ini menjadi antara paling awal dikaitkan bersama James sejak saingan liga sudah pun tamat, dengan beberapa laporan di media sosial menyatakan pemain tersebut bakal menyertai Kuching City.
Melihat kepada situasi pertahanan Kuching City yang sangat lemah pada musim lalu, tidak mustahil untuk skuad kendalian Aidil Sharin melihat James sebagai pemain berpotensi untuk mengukuhkan kembali posisi itu.
Malah, pengalaman dimiliki James juga menjadi sesuatu sangat berguna buat pemain muda Kuching City untuk mendapat lebih banyak ilmu daripada pemain tersebut.
Sri Pahang
Skuad Tok Gajah secara rasminya sudah pun melepaskan dua pertahanan import mereka pada saingan lalu iaitu Michael Glassock serta Sherzod Fayziev di media sosial.
Ketiadaan pemain tersebut menyaksikan pengendali pasukan, Fandi Ahmad pastinya kini sedang menilai pemain import berkualiti untuk diketengahkan pada saingan hadapan.
James dilihat sebagai salah satu calon pemain bersesuaian dengan kehendak permainan diterapkan oleh Fandi untuk memperkukuhkan aspek pertahanan serta posisi serangan menerusi situasi bola mati.
Negeri Sembilan
Skuad Hoben Jang Hoben sah melepaskan bekas pertahanan import kental mereka pada saingan lalu iaitu Mark Herold Goulon dan kini mereka masih belum mengumumkan sebarang pemain baharu.
Nama James mungkin menjadi perhatian pasukan tersebut jika mereka memerlukan seorang lagi pertahanan import yang sudah terbiasa beraksi dalam saingan Liga M.
Memiliki corak permainan seakan sama seperti Goulon daripada segi kekuatan fizikal dan ketenangan mengawal bola, ada kemungkinan juga buat pasukan itu untuk cuba mengintai peluang mendapatkan bekas pertahanan kebangsaan Nigeria itu.