Bulan Ramadan yang semakin menghampiri penghujung digunakan sepenuhnya pasukan Liga Super Perak dengan menyantuni golongan kurang bernasib baik.
Skuad The Bos Gaurus itu menceriakan kira-kira 22 orang penghuni Rumah Anak Yatim & Pusat Jagaan Nurul Iman Kampung Manjoi dalam satu program membeli belah yang diadakan di Mydin Mall Meru, petang tadi.
Selain daripada Shahrul Mohd Saad, Shahrel Fikri Md Fauzi dan Kenny Pallraj yang sedang menjalani latihan pusat skuad kebangsaan, kesemua pemain bersama-sama ketua jurulatih, Mehmed Durakovic meluangkan masa meraikan anak-anak tersebut.
Para pemain Perak kelihatan cukup mesra melayani kehendak dan kerenah penghuni Rumah Anak Yatim & Pusat Jagaan Nurul Iman dalam memilih kelengkapan menyambut hari lebaran.
Dalam pada itu, pemain import dar Brazil, Leandro Dos Santos menjadi pemain paling ‘sibuk’ seperti kebiasan dilakukannya di padang apabila begitu bersemangat membantu anak-anak tersebut dalam membuat pilihan.
Mengulas mengenai inisiatif murni yang dirangka Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) itu, pemain pertahanan kiri, Nazirul Naim Che Hashim menyifatkan program tersebut merupakan usaha yang baik dalam meraikan anak yatim dan miskin.
”Ini merupakan kali kedua program bersama anak yatim diadakan sejak saya menyertai Perak pada tahun 2016 dan ia adalah satu program yang sangat baik.”
”Mereka kelihatan gembira kerana dapat berjumpa dengan pemain-pemain Perak, saya rasa ini peluang terbaik buat mereka kerana tidak semua anak yatim di Perak dapat peluang sebegini.”
Dalam perkembangan lain di kem Perak, dua pemain pertahanan iaitu Muhamad Syazwan Zaipol Bahari dan Muhammad Nazirul Afif Ibrahim telah dipinjamkan ke Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) bagi menghadapi baki aksi Liga Malaysia 2019.
Perkara itu disahkan oleh Mehmed Durakovic kepada wakil Semuanya BOLA ketika ditemui pada majlis tersebut.