Pasukan Liga Futsal Profesional Indonesia Dapatkan Khidmat Jurulatih Dari Malaysia

Qusmaini

Pasukan yang baharu sahaja ‘dinaikkan pangkat’ ke saingan Liga Futsal Profesional Indonesia, Bank Sumatera Utara Medan FC dilaporkan telah mendapatkan khidmat jurulatih tempatan, Qusmaini Noor Rusli bagi menghadapi musim 2020.

Jurulatih kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu bukanlah individu asing dalam kancah futsal di Indonesia kerana sebelum ini beliau pernah membimbing Brilyan FC dan BJL 2000 Semarang menghadapi kempen Liga Profesional Indonesia 2012 dan 2016.

Selain daripada pernah menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Brunei, Qusmaini sebelum ini juga membimbing Perak, Melaka United, Sabah Quilmes, Negeri Sembilan, KWSP FC dan MBPJ FC.

Ketika dihubungi wakil SemuanyaBOLA, Qusmaini yang kini sudah berada di Medan nyata gembira untuk kembali membimbing pasukan dalam liga paling berprestij di negara jiran tersebut.

”Sudah pastinya saya gembira untuk memulakan tugasan bersama pasukan baharu. Saya sememangnya gemarkan cabaran baru dalam futsal.”

”Dan pastinya satu cabaran getir yang akan saya tempuhi memandangkan terdapat tiga pasukan pilihan iaitu Bintang Timur Surabaya, SKN Kebumen dan IPC Pelindo yang berada satu kumpulan dengan kami [Bank Sumatera Utara],” ujar pengendali berusia 40 tahun itu.

”Namun, ia tidak melemahkan semangat kami dan saya akan melakukan yang terbaik berbekalkan pengalaman yang saya miliki. Di samping itu majoriti barisan pemain anak Sumatera yang berbakat besar juga diharapkan dapat memudahkan perjalanan dan perancangan pasukan sepanjang saingan liga berlangsung.”

Ketika ditanya adakah khidmat pemain dari Malaysia akan menjadi pilihannya, ini adalah respon daripada Qusmaini:

”Ya, saya tidak menolak kemungkinan untuk membawa dua orang pemain kebangsaan Malaysia bagi memperkuatkan skuad Bank Sumatera Utara FC.”

”Bagaimanapun, ia masih dalam perbincangan dan rundingan dengan pihak pengurusan kerana saya secara peribadi tidak mahu mengganggu persiapan skuad kebangsaan yang akan menghadapi Kejuaraan Futsal AFF di Vietnam bermula 21 Oktober ini.”

”Pemain yang menjadi pilihan saya pastinya mampu untuk mengikuti gaya permainan intensiti tinggi yang sinonim dengan karakter para pemain dari Medan dan Sumatera Utara khususnya.”

Sebagai rekod, dua pemain dari Malaysia pernah beraksi dalam saingan Liga Futsal Profesional Indonesia iaitu Mohd Zuhairi Sholahuddin [Brilyan FC] dan Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin yang bersama SKN Kebumen pada 2018.

Dalam perkembangan yang sama, Qusmaini Noor Rusli turut mendapatkan khidmat bekas pembantunya ketika bersama Perak Futsal, Mohd Faiq Faudzil selama sebulan dalam usaha mempersiapkan fizikal serta kekuatan (pra-musim) para pemain kelab tersebut.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN